Microlino EV lulus proses homologasi untuk pasaran Eropah – pengeluaran akan bermula Disember 2018

Microlino EV lulus proses homologasi untuk pasaran Eropah – pengeluaran akan bermula Disember 2018

Kereta kecil yang anda lihat namanya adalah Microlino. Ia pertama kali ditunjukkan dua tahun lepas, dan dalam berita terbaru, ia sudah lulus proses homologasi di Eropah dan proses pengeluarannya akan bermula Disember 2018 ini. Pasaran pertama yang akan menerimanya adalah Switzerland, dan ia merupakan hasil kerja sebuah syarikat dari negara itu sendiri iaitu Micro Mobility Systems.

Microlino boleh dilihat sebagai satu interpretasi moden bagi kereta lama berbentuk bulat pada tahun 1950-an dan 1960-an seperti Isetta, FMR Tg500, Messerschmitt KR175 dan Peel P50. Ia menggunakan motor elektrik 15 kW (20 hp) yang boleh menghasilkan sehingga 110 Nm tork, dengan masa pecutan 0-50 km/j lima saat dan kelajuan maksimum 90 km/j.

Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion yang boleh didapati dalam dua pilihan kapasiti – lapan kWh dan 14.4 kWh. Berdasarkan ujian homologasi yang dilakukan, unit yang lebih kecil tersebut mampu dipakai sehingga jarak 126 km, manakala unit yang lebih besar pula boleh membawa kenderaan bergerak 202 km.

Mengecas bateri kenderaan ini menggunakan Mode 1 dan 2 (soket kuasa biasa) akan mengambil masa selama empat jam melalui sambungan dua kW, tetapi apabila menggunakan sambungan empat kW, ia boleh dilakukan dalam masa dua jam sahaja. Jika pemilik menggunakan soket enam kW pula, bersama sambungan Type 2, ia akan mengambil masa cuma satu jam sahaja untuk memenuhkan kembali bateri tersebut.

Melihat kepada dimensi, Microlino mempunyai ukuran cuma 2,435 mm panjang, 1,500 mm lebar dan 1,459 mm tinggi. Berat pula adalah 450 kg dicampur dengan bateri dan pemandu. Walaupun mempunyai kabin bersaiz kompak, kenderaan ini menyediakan ruang but 300 liter di belakang tempat duduk depan, dan ini adalah lebih besar daripada but Mazda 2.

Microlino EV lulus proses homologasi untuk pasaran Eropah – pengeluaran akan bermula Disember 2018

Untuk masuk ke dalam kenderaan ini, anda boleh menggunakan pintu yang terletak di hadapan kereta, seperti Isetta, dan ini membawa kepada kelebihan tersendiri apabila kenderaan diletakkan di tepi jalan. Microlino akan dijual pada harga sekitar 12,000 euro (RM56,850) dan boleh didapati dalam lapan pilihan warna Zurich Blue, Milano Red, Amsterdam Orange, Paris Mint, Barcelona Brown, London Grey, Gotham Black dan Vienna White.

Walaupun dipanggil sebagai sebuah ‘kereta’, Microlino sebenarnya diklasifikasikan sebagai quadricycle berat (L7e) dengan empat tayar. Oleh sebab itu, ia tidak perlu melalui ujian keselamatan seperti kenderaan biasa dan mempunyai beberapa peraturan lain yang perlu dipatuhi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required