Pengeluar motosikal dari Amerika Syarikat iaitu Harley-Davidson telah mendedahkan pelan pemasaran serta produk menjelang tahun 2022 yang diberi tajuk sebagai “More Roads to Harley-Davidson”. Ia dihasilkan sebagai sokongan kepada objektif pasaran 2027 yang pernah dibentangkan sebelum ini, berserta penambahan beberapa model baru yang termasuk penyertaan jenama itu dalam beberapa segmen lain buat kali pertama.
Satu daripada model yang didedahkan adalah sebuah motosikal kembarayang dinamakan sebagai Pan America 1250, di mana ia bakal menggunakan enjin v-twin yang sudah menjadi tanda unik Harley-Davidson tetapi mempunyai kedudukan yang tinggi dan boleh meredah jalan kasar. Bahagian perumah lampu hadapannya juga mempunyai elemen gaya seperti model cruiser Road Glide.
Ia kemudiannya juga akan disertai oleh model Custom 1,250 cc serta Streetfighter 975 cc. Perincian lanjut semua motosikal ini tidak dijelaskan tetapi diberitahu akan disediakan untuk pelancaran sekitar tahun 2020.
Barisan model baru ini juga adalah sebahagian daripada model yang akan menggunakan platform baru untuk motosikal middleweight 500 cc hingga 1,250 cc. Platform ini juga diberitahu boleh digunakan untuk pelbagai model lain sehingga tahun 2022 dan boleh dipasang dengan empat kapasiti enjin berbeza. Selain itu, Harley-Davidson juga ada perancangan untuk model berkapasiti rendah antara 250 cc hingga 500 cc untuk pasaran Asia.
Model Harley-Davidson permulaan ini akan dikeluarkan melalui persekutuan strategik terancang dengan pengilang di Asia. Model yang lebih kecil pula difikirkan khusus untuk pasaran India. Untuk model elektrik Livewire, ia akan dihidupkan kembali dan dimasukkan dalam strategi pasaran mereka.
Selain pengenalan model baru, Harley-Davidson turut menyatakan dalam siaran akhbar bahawa mereka akan merujuk kembali strategi runcit dan memasukkan konsep e-niaga. Rangkaian pengedar juga akan menggunakan format runcit baru yang termasuk kedai kecil di kawasan urban untuk mendedahkan jenama dan memacu jualan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.