Jika anda pernah berurusan untuk beli motosikal baru di kedai, mungkin anda akan perasan harga atau caj-caj yang dikenakan tidak sekata, bahkan pada kebanyakan waktu agak mahal. Tetapi, paling tidak satu daripada perkara ini – yang melibatkan caj memproses pembelian – sebenarnya sudah ada peraturan yang ditetapkan.
Gagal mematuhi peraturan ini, premis niaga atau kedai motosikal yang terlibat boleh dikenakan tindakan keras, seperti apa yang berlaku ke atas sebuah kedai menjual motosikal di Dungun, Terengganu. Seperti dilaporkan oleh Harian Metro sebelum ini, kedai berkenaan diserbu oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Kedai berkenaan mengenakan caj memproses pembelian setiap unit motosikal sebanyak RM170. “Mengikut peraturan ditetapkan, bagi setiap barangan bernilai RM30,000 ke bawah, harga yuran memproses permohonan sepatutnya RM50 sahaja. Bagaimanapun, kedai berkenaan mengenakan bayaran lebih RM120 daripada harga yang dibenarkan.
“Sementara itu, bagi barangan bernilai RM 30,001 dan ke atas, kadar yuran pemprosesan adalah dari RM51 hingga RM100,” jelas Ketua Cawangan KPDNHEP cawangan Dungun, Mohamad Hashim memetik laporan yang sama.
Di atas kesalahan itu, kedai berkenaan didapati telah melanggar Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2017. “Syarikat terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh didenda RM200,000. Bagi orang perseorangan pula, mereka dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tiga tahun dan kesalahan kedua boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.
Agaknya, inilah satu daripada sebab mengapa kita selalu mendengar keluhan pengguna yang ingin membeli motosikal bari dikedai. Harga yang dikeluarkan oleh pengilang atau jenama pengeluar lain, tapi bila sampai di kedai atau pengedar, harganya akan menjadi lain pula – biasanya akan lebih mahal dari sepatutnya, walaupun telah mengambil kira bayaran lain yang perlu, seperti cukai jalan dan insurans.
Di dalam perkara ini, kita juga tahu, hampir mustahil jika kita hanya ingin harapkan kepada pihak KPDNHEP sahaja untuk menyerbu semua kedai secara rambang, untuk menjalankan pemeriksaan.
Di sinilah kita sebagai pengguna boleh memainkan peranan yang berkesan untuk berdepan dengan amalan seperti ini, dengan cara terlibat lebih aktif untuk melaporkan sebarang kesalahan atau sebut harga yang mencurigakan yang diberi oleh kedai-kedai yang mungkin ingin mengambil kesempatan ke atas pelanggan.
Bukan hanya caj-caj terselindung, malah pinjaman yang diberi oleh kedai juga perlu diselidik. Jika anda ingin membuat aduan kepada pihak kementerian, senarai hotline lengkap mengikut negeri ada di sini. Mari sama-sama jalankan tanggungjawab untuk pastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang telah pun digariskan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.