Sejak 1 Ogos lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengadakan Op Khas Samseng Jalanan dan dalam tiga minggu ini, sebanyak 37,282 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik melibatkan motosikal dan kereta.
Menurut Pengarah JSPT, Datuk Sharul Othman Mansor, sepanjang operasi itu sebanyak 1,775 kenderaan telah disita melibatkan 1,648 motosikal dan 127 buah kereta, laporan Bernama.
“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan mengubah kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Sebanyak 626 tangkapan dilakukan bersabit kesalahan di bawah 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sepanjang operasi berkenaan Kuala Lumpur merekodkan tangkapan tertinggi sebanyak 335 diikuti Pulau Pinang dengan 115 tangkapan.
Beliau berkata tangkapan yang dilakukan mengikut pecahan umur melibatkan 228 berumur 18 tahun ke atas dan 194 bawah 18 tahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.