Hujung minggu ini akan menjadi waktu bersejarah bagi Triumph apabila pengeluar dari United Kingdom itu buat pertama kalinya bakal melakukan pusingan lengkap menggunakan motosikal yang dikuasakan oleh enjin Moto2 tahun depan di hadapan orang ramai, iaitu di Litar Silverstone.
Pusingan ini akan dilakukan betul-betul sebelum perlumbaan Moto2 berlangsung, dan motosikal yang menggunakan enjin tiga silinder 765 cc prototaip terakhir itu akan ditunggang oleh bekas juara World Superbike Champion, James Toseland.
Sebelum ini, tiga pasukan pengeluar Moto2 iaitu Kalex, KTM dan NTS telah menguji enjin Triumph tersebut di atas litar menggunakan kerangka prototaip dengan keadaan seperti waktu perlumbaan, dan ia dipadankan dengan ECU yang boleh diubah suai oleh Magneti Marelli.
“Kami sangat senang hati dengan perkembangan sehingga sekarang dan kagum dengan tahap semangat serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan casis, penunggang, pasukan ECU Magneti Marelli, Exernpro dan Dorna waktu membangunkan motosikal Moto2 generasi seterusnya ini,” kata ketua bahagian produk Triumph, Steve Sargent.
Tambah beliau, kelas Moto2 juga akan menjadi lebih menarik kerana terdapat saingan yang lebih sengit untuk menghasilkan pakej yang terbaik. ECU yang digunakan pula memberi pilihan yang luas untuk melaras penyalaan, penyampaian bahan api, kuasa brek enjin, pemetaan pendikit, quickshifter dan pelbagai lagi.
Kontrak Triumph dengan Dorna untuk membekalkan enjin bagi kelas Moto2 ditandatangani untuk tiga tahun, dan ia adalah unit tiga silinder 765 cc yang asasnya diambil daripada enjin yang digunakan pada model Triumph Street Triple 2017, tetapi telah ditala khas untuk perlumbaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.