Pernah nampak Presiden Rusia, Vladimir Putin naik sebuah kereta yang tak berapa dikenali sebelum ini? Itu sebenarnya Aurus Senat, sebuah kereta yang dibangunkan sepenuhnya di Rusia di bawah satu jenama mewah baru, Aurus.

Nama ini diambil dari dua perkataan; “aurum” (emas dalam bahasa Latin) dan “rus” untuk Rusia. Kereta yang nampak macam rupa bentuk sebuah Rolls Royce sebenarnya dibangunkan oleh sekumpulan pengeluar kenderaan Rusia yang diketuai oleh Russian Central Scientific Research Automobile and Automobile Engines Institute (NAMI) di bawah projek dengan nama Kortezh.

Limosin ini pertama kali kelihatan secara umum Mei lalu, ketika Putin memandunya dalam satu siaran televisyen. Model Senat ini ketika itu menggantikan sebuah Mercedes-Benz yang biasa digunakan oleh beliau, ketika majlis pelantikannya sebagai presiden bagi penggal keempat.

Tindakan itu menghantar mesej patriotik bahawa Rusia mampu berdikari dan tidak perlu bergantung kepada teknologi dan barangan dari luar. Ini adalah rentetan kepada tekanan yang dihadapi Rusia disebabkan sekatan oleh Barat.

Bagi versi pasaran umum, ada dua versi yang dipertontonkan – Senat standard dan juga Senat Limosin yang lebih panjang. Yang pertama mempunyai kepanjangan 5,639 mm (kurang sedikit dari Rolls-Royce Phantom, tetapi lebih panjang dari Bentley Mulsane), manakala versi limosin mempunyai kepanjangan 6,629 mm.

Ia dikuasakan oleh enjin 4.4 liter petrol hibrid V8. Enjin turbocas itu menghasilkan sebanyak 598 hp dan 880 Nm tork, manakala motor elektriknya pula membekalkan tambahan 40 hp. Kuasa disalurkan kepada semua tayar melalui transmisi automatik sembilan-kelajuan.

Enjin yang lebih besar dengan kapasiti 6.6 liter V12 juga sedang dibangunkan, dijangka akan menghasilkan sebanyak 800 hp. Kedua-dua sistem janaan kuasa ini dibangunkan bersama dengan Porsche.

Penyerahan pertama Aurus Senat ini akan dilakukan awal 2019 nanti, dengan hanya 150 unit dirancang untuk dikeluarkan bagi tempoh dua tahun pertamanya. Pada 2021, angkanya akan ditingkatkan kepada 5,000 hingga 10,000 unit, bergantung kepada permintaan. Syarikat itu juga sedang mempertimbang untuk memasuki pasaran eksport di China dan Timur Tengah.

Menarik tak kereta rasmi Persiden Putin yang guna produk Rusia sepenuhnya ini? Tak lama lagi akan banyaklah atas jalan di sana, bila versi umum mula diedarkan kelak.