Rolls-Royce Phantom 2018 kini di M’sia – V12 6.75 liter berkuasa 563 hp/900 Nm, harga bermula RM2.2 juta

Rolls-Royce Phantom 2018 kini di M’sia – V12 6.75 liter berkuasa 563 hp/900 Nm, harga bermula RM2.2 juta

Tiga bulan selepas diperkenalkan di peringkat dunia, Rolls-Royce Phantom kini telah mendarat di Malaysia. Ia dijual pada harga bermula RM2.2 juta sebelum cukai untuk varian ‘standard’, manakala model yang diperkenalkan ini adalah dari varian Extended Wheelbase (EWB) yang lebih panjang dan mewah (hanya untuk pasaran terpilih), dijual pada harga RM2.5 juta.

Phantom generasi kelapan ini dibina diatas kerangka aluminum baharu sepenuhnya yang 30% lebih tegar dari sebelum ini digelar Architecure of Luxury. Platform baharu ini juga akan digunakan untuk SUV Cullinan akan datang, serta model-model Rolls-Royce yang lebih kecil seperti Ghost, Wraith dan Dawn, menggantikan platform yang diambil dari BMW 7 Series pada Ghost sedia ada.

Kerangka baharu berkenaan ditampung oleh suspensi double wishbone pada bahagian hadapan dan juga suspensi 5-link pada bahagian belakang bersama sistem suspensi udara generasi baharu dengan ketinggian yang dilaras secara automatik berdasarkan informasi dari badan dan tayar, serta input stereng dan informasi kamera. Ia turut diberikan stereng pada bahagian roda belakang bagi membolehkan pergerakan lebih tangkas dilakukan.

Rolls-Royce Phantom 2018 kini di M’sia – V12 6.75 liter berkuasa 563 hp/900 Nm, harga bermula RM2.2 juta

Bagi memberikan keselesaan maksima, Phantom diberikan penebat bunyi seberat 130 kg, termasuk lapisan buih di dalam tayar bagi mengurangkan bunyi sebanyak sembilan desibel. Ia turut diberikan kaca dua lapis sepanjang 6 mm disekeliling, material dengan kedapan tinggi dan juga sambungan alumimium paling besar di dalam badan bagi memberikan bunyi 10% lebih rendah berbanding model sebelum ini.

Badan yang berat ini dibawa oleh enjin baharu V12 6.75 liter turbo berkembar berkuasa 563 hp pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 900 Nm bermula 1,700 rpm. Ia digandingkan bersama transmisi lapan-kelajuan automatik dari ZF yang turut diberikan sistem Satellite Aided Transmission (SAT) – sistem ini akan menukar gear berdasarkan data bentuk jalan dari sistem navigasi.

Bahagian hadapan Phantom baharu ini diberikan gril Pantheon dari material keluli tahan karat baharu, diapit dengan lampu hadapan berbentuk trapezoid. Lampu tersebut diberikan gelungan lampu nyalaan siang bina dalam dan juga lampu utama janaan laser yang mampu mencapah cahaya sejauh 600 meter.

Rolls-Royce Phantom 2018 kini di M’sia – V12 6.75 liter berkuasa 563 hp/900 Nm, harga bermula RM2.2 juta

Bahagian sisi, bentuk 2:1 Rolls-Royce masih lagi digunakan untuk Phantom, menampilkan bonet yang panjang dan juntaian pendek di depan, panjang dibelakang. Bahagian belakang pula lebih ringkas dengan sepasang lampu berbentuk batu permata. Selain dari gril, keseluruhan bahagian luaran Phantom ini diberikan banyak kemasan keluli tahan karat termasuk pada kesemua tingkap dan cermin, serta kemasan pada penutup bonet belakang.

Dengan saiz yang kelihatan sangat besar ini, Phantom generasi baharu berkenaan sebenarnya lebih pendek berbanding generasi sebelumya. Ia diukur dengan dimensi 5,762 mm panjang, 2,018 mm lebar dan 1,646 mm tinggi, bersama jarak roda 3,552 mm. Berbanding model sebelumnya, ia 72 mm lebih pendek tetapi 29 mm lebih lebar dan 13 mm lebih tinggi dengan jarak roda 19 mm lebih pendek. Bagi model EWB pula, jarak rodanya 220 mm lebih panjang dan 10 mm lebih tinggi.

Ia diberikan pintu koc tipikal sebuah Rolls-Royce bersama fungsi tutup sendiri, tetapi sistem tersebut kini bukan hanya untuk pintu belakang, malah pintu hadapan kini turut boleh ditutup dengan hanya menekan suis. Bahagian dalaman Phantom baharu ini menampilkan ciri-ciri yang sangat mewah, juga tipikal sebuah Rolls-Royce.

Papan pemuka kereta ini diberikan panel instrumen digital yang kelihatan seperti meter analog dan jam analog. Ia turut diberikan skrin infotaimen utama yang boleh disorokkan jika tidak digunakan bagi menyerlahkan rekaan sebuah Rolls-Royce sebenar. Tempat duduk hadapan juga telah direka semula dengan diberikan kemasan kayu bagi mencerminkan rekaan tempat duduk Eames Lounge.

Beralih ke kabin belakang, penumpang disajikan monitor teater individu setiap seorang yang boleh disorokkan pada tempat duduk hadapan, bersama meja piknik. Tempat duduk belakang pula direka dengan sudut memudahkan kedua-dua penumpang berkomunikasi dan bentangannya boleh dilaras dengan empat mod iaitu posisi lounge standard, tempat duduk individu dengan konsol tengah boleh laras atau tetap, dan juga tempat duduk untuk tidur baharu.

Konsol tetap telah direka semula dan turut menempatkan kabinet minuman bersama gelas wiski, penyejuk dan lain-lain. Penumpang juga boleh menikmati bumbung berbintang gentian optik – unit yang paling besar setakat ini pernah dipasang pada sebuah Rolls-Royce.

Kereta mewah ini turut dilengkapi pendawaian baharu, komponen paling besar pernah dihasilkan oleh BMW Group, yang membolehkan sistem bantuan pemanduan baharu berfungsi, termasuk Alertness Assistant, Pandangan Panaromik 360-darjah, Night Vision, Vision Assist, Active Cruise Control, amaran pelanggaran, amaran pejalan kaki, amaran lintasan trafik, dan juga amaran keluar laluan dan penukaran lorong. Rolls-Royce Phantom 2018 turut dilengkapi dengan paparan head-up serta WiFi Hotspot.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required