Penjualan kontrak dan Permit Import (AP) kepada pihak ketiga sebenarnya bukanlah suatu perkara baharu. Ia telah lama dilakukan oleh syarikat mahu pun individu yang mendapat kontrak dan AP tersebut, bagi meraih keuntungan atas angin.

Enggan gejala ini kian berleluasa, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kontrak dan AP yang dijual kepada pihak ketiha akan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta, laporan Berita Harian.

Beliau menegaskan pihak yang berhasrat untuk menjadi peniaga ‘ali baba’ dengan memanipulasi AP dan kontrak tidak sepatutnya memfailkan permohonan.

“Apabila kita dapat peluang, guna ia sebaik mungkin, bukan jual walaupun boleh dapat wang cepat kerana percaturan seperti ini hanya membuatkan orang lain yang kaya. Kalau hanya untuk jual kontrak dan AP, maka ia terbatal dan tidak boleh dilaksanakan. Kita ada banyak lagi cara untuk ketatkan amalan yang berupaya merosakkan proses tadbir urus,” katanya dalam perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 baru-baru ini.

Beliau berkata, ia termasuk peruntukan kuota kontrak dan AP kepada golongan berkenaan, namun usaha itu terencat susulan keputusan mereka untuk menjual atau memindahkannya sebagai pendekatan jalan pintas.

“Mungkin salah kerajaan (ketika itu) kerana beri AP kepada kroni dengan tanggapan mereka tidak berusaha seperti yang sering dilemparkan terhadap Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Orang lain dapat juga AP, tetapi tidak gagal kerana berniaga, berbanding mereka yang jual setiap satunya dengan nilai RM8,000 satu permit. Memang mereka jadi kaya, tapi tak lamalah,” katanya.