Masih ingat dengan tempoh percubaan bagi sistem radio-frequency identification (RFID) oleh Touch n’ Go? Masuk bulan September, maka bermulakan percubaan pengguna umum terpilih ke atas sistem berkenaan, bermula hari ini.
Dijangka akan dilancarkan secara rasmi dan dilaksanakan secara menyeluruh pada Januari tahun hadapan, program percubaan khas yang dibuka kepada pengguna umum serta pemasangan pelekat RFID pada kenderaan mereka yang terpilih kini telah dimulakan.
Bagi yang telah mendaftar dan terpilih, mereka perlu menetapkan temujanji untuk pemasangan kit berkenaan, yang hanya memerlukan 15 minit di pusat-pusat pemasangan yang telah ditetapkan.
Terbuka kepada pengguna lebuhraya di Lembah Klang yang memandu kenderaan kelas 1 (kereta penumpang, van, 4×4 dan trak pikap) dengan pendaftaran persendirian akan membolehkan penggunaan secara lebih meluas untuk sistem berkenaan serta menilai aspek-aspek yang perlu diperkemas, sekiranya ada. Ketika ini, lorong RFID ada di 16 lebuhraya.
Pengguna yang terlibat di dalam tempoh percubaan ini tidak perlu membayar yuran RFID, tetapi perlu membayar kadar tol seperti yang ditetapkan. Bayaran dan tambah nilai boleh dilakukan melalui aplikasi eWallet Touch ‘n Go pada platform iOS dan Android.
RFID akan menjadi kaedah baru pembayaran tol secara elektronik selepas ini. Ia menggunakan pelekat/tag RFID yang mempunyai chip frekuensi radio khas dan dipasang sama ada pada cermin depan atau bahagian lampu utama kenderaan, dan setiap satunya hanya khusus untuk kegunaan satu kenderaan.
Sistem ini akan menolak kadar tol yang dikenakan dari eWallet Touch ‘n Go yang dihubungkan kepada pelekat RFID berkenaan. Ia berfungsi dengan cara yang sama dengan pengeimbas barcode. Pelekat berkenaan akan diimbas melalui pengimbas melalui gelombang elektromagnetik dalam frekuensi antara 850 dan 950 Mhz, dan boleh dilakukan dalam jarak lebih daripada 27 meter dengan kadar respon sepantas 10 milisaat.
Dari sudut kecekapan berfungsi, RFID lebih baik dan stabil berbanding sistem SmartTag yang digunakan sebelum ini, dan ia tidak memerlukan bateri atau kecenderungan kehilangan kad TnG – kerana ia tidak memerlukan kedua-duanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.