Ford Malaysia telah menyiarkan satu teaser berkenaan ketibaan model Everest facelift di laman media sosial rasmi mereka. SUV body-on-frame yang telah disegarkan semula ini ditunjukkan buat pertama kali beberapa bulan yang lalu.

Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik tersebut, pasaran Malaysia nampaknya akan menerima Everest facelift yang dilengkapi dengan transmisi automatik Getrag 10R80 10-kelajuan. Unit ini menggantikan kotak gear 6R80 enam kelajuan yang digunakan pada model sekarang.

Walaupun masih belum disahkan, kotak gear 10 kelajuan ini berkemungkinan besar dipadankan bersama enjin turbodiesel 2.0 liter EcoBlue, yang mana ia pertama kali digunakan pada Ranger Raptor. Enjin EcoBlue ini adalah daripada keluarga enjin Panther, dan merupakan pengganti bagi barisan enjin Puma yang terdiri daripada turbodiesel Duratorq kapasiti 2.2 dan 3.2L.

Padanan enjin EcoBlue dan kotak gear automatik 10-kelajuan ini sudah pun digunakan pada Everest yang dijual di Thailand, dan ditawarkan dalam dua talaan kuasa berbeza – 180 PS pada 3,500 rpm/420 Nm dari 1,750-2,500 rpm (turbo tunggal) dan 213 PS pada 3,750 rpm/500 Nm dari 1,750-2,000 rpm (bi-turbo). Walaubagaimanapun, beberapa pasaran seperti Australia masih menggunakan padanan enjin Duratorq dengan transmisi enam kelajuan.

Naik taraf lain yang diberi untuk model facelift ini termasuk gril tiga jalur yang lebih besasr, lampu utama xenon dengan lampu siang LED, sistem masuk dan mula enjin tanpa kunci, sistem infotainmen SYNC 3, trim berbeza dan tailgate elektrik yang boleh dibuka tanpa pegang bagi varian tertentu.

Untuk sistem keselamatan, Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan kenderaan, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping System (LKS) dan Blind Spot Information System (BLIS) dengan pengesan trafik daripada belakang juga ada ditawarkan untuk varian yang lebih tinggi di Thailand dan Australia.