Sime Darby Auto Connexion telah melancarkan Ford Everest facelift untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.0L Trend AWD 10AT yang dijual pada harga RM228,888 tidak termasuk insurans dan varian lebih tinggi, 2.0L Bi-turbo Titanium AWD 10AT pada harga RM258,888.

Perubahan paling besar untuk model ini adalah kemasukan enjin turbodiesel dari keluarga Panther yang menggantikan enjin Puma yang terdiri daripada unit 2.2L dan 3.2L Duratorq sebelum ini. Kedua-dua varian Everest facelift ini menggunakan enjin 2.0 liter tetapi talaan kuasanya berlainan.

Untuk varian Trend, ia datang dengan pengecas turbo tunggal, menghasilkan kuasa 180 PS dan 420 Nm tork – lebih tinggi berbanding 160 PS dan 385 Nm daripada enjin 2.2L Duratorq sebelum ini. Sementara itu, varian Titanium pula menggunakan dua pengecas turbo, menghasilkan kuasa 213 PS dan 500 Nm tork – enjin 3.2L Duratorq sebelum ini menghasilkan 200 PS dan 470 Nm tork.

Satu-satunya transmisi yang digunakan untuk kedua-dua varian ini adalah unit automatik 10 kelajuan Getrag 10R80 yang menggantikan unit enam kelajuan 6R80 sebelum ini. Selain itu, Everest facelift juga dilengkapi dengan Terrain Management System (TMS) yang menyediakan empat mod pemanduan iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, serta differential belakang dengan sistem kunci elektronik.

Seperti yang boleh dilihat pada nama variannya, sistem pacuan empat roda datang secara standard, bersama sistem offroad lain seperti hill descent control dan hill launch assist. Ciri lain kenderaan ini adalah jarak dari tanah 225 mm, boleh meredah air (water wading depth) sehingga 800 mm, sudut kecondongan hadapan 30 darjah dan 25 darjah di belakang.

Melihat kepada kelengkapan pula, varian Trend datang dengan rim 18 inci (tayar 265/60), lampu utama xenon automatik dengan DRL LED, lampu belakang LED, lampu kabus depan dan belakang, pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan serta penutup bahagian belakang kuasa elektronik.

Masuk ke bahagian dalam, anda akan dapat melihat sistem kawalan pendingin hawa dua zon, corong pendingin hawa belakang dengan pengawal kipas, panel instrumen TFT empat inci, sistem masuk dan pemula enjin tanpa kunci, tempat duduk, stereng, tombol gear dan kulit pintu yang dibalut dengan kulit, sistem audio 10 pembesar suara, sistem infotainmen SYNC 3 dengan Android Auto dan Apple CarPlay serta skrin sesentuh lapan inci.

Varian Titanium sudah tentu mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi, bermula dengan rim 20 inci (tayar 265/60), pemegang pintu serta cermin sisi krom (dengan lampu bawah pintu) serta bumbung panoramik. Ia juga datang dengan soket pengecas 230 V/150 W, lampu suasana serta sentuhan satu kali untuk menaik dan menurunkan semua tingkap.

Sebagai tambahan, anda juga akan mendapat tempat duduk larasan kuasa lapan arah di hadapan, tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan menekan butang elektronik – satu peningkatan berbanding varian Trend. Walaubagaimanapun, senarai sistem keselamatan pada kedua-dua varian hampir sama dengan adanya tujuh beg udara, ESC dengan kawalan cengkaman, roll stability control, ABS dan EBD.

Perbezaan di antara keduanya adalah Titanium datang dengan pengesan jarak depan dan belakang (Trend cuma mendapat pengesan di belakang), serta Blind Spot Information System (BLIS) dengan cross-traffic alert. Selain itu, Everest facelift di Malaysia juga tidak mempunyai Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan kenderaan, adaptive cruise control (ACC) serta Lane Keeping System (LKS) seperti di Thailand. Semua varian walaubagaimanapun menerima taraf lima bintang dalam ASEAN NCAP.

Untuk varian Trend, ia disediakan dalam pilihan warna Meteor Grey dan Shadow Black manakala Titanium pula ditawarkan dalam warna Diffused Silver dan Sunset. Jaminan yang diberikan adalah selama tiga tahun atau 100,000 km.