Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata keputusan berhubung isu penghapusan kutipan tol lebuh raya hanya akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi. Katanya, ketika ini pihaknya sudah menerima beberapa cadangan daripada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dan akan menilai semua cadangan berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan, laporan Bernama.

“Masa sekarang kita masih berunding, mencari satu jalan yang saling memanfaatkan kepada pihak berkepentingan dan kerajaan baharu. Apa yang nanti diputuskan cara baiknya yang diterima semua pihak berkepentingan.

“Saya percaya itu akan dilaksanakan. Saya difahamkan semua pemegang berkepentingan bersikap positif terhadap kedudukan kita sekarang. Justeru, mereka sangat memaham, kita harap akan ada persefahaman dan kesimpulan bersama serta persetujuan bersama yang terbaik,” katanya.

Tambah beliau lagi, antara cadangan yang diberikan syarikat konsesi termasuklah pemberian rebat dan diskaun serta memanjangkan tempoh konsesi lebuh raya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas mengenai kos sebenar penyelenggaraan jalan raya persekutuan di negara ini. Katanya, kos keseluruhan yang diperlukan setiap tahun ialah kira-kira RM2 bilion. Walau bagaimana pun,kementerian Kerja Raya hanya menerima antara RM600 juta dan RM800 juta sahaja dari bajet tahunan bagi tujuan itu.

“Malah kami diminta berusaha mengurangkan lagu jumlah itu, pihak kami menerima kurang 50% daripada apa yang diperlukan. Selain itu kami juga ada kerja-kerja penyelenggaraan yang tertangguh sekitar 30% yang perlu dilaksanakan, jika kami tidak laksanakan kerja-kerja ini, jumlah kerja yang tertangguh akan melonjak kepada 40 atau 50%,” katanya.

Jelasnya lagi, “Keselamatan pengguna jalan raya amat penting, oleh itu kami akan merayu kepada Kementerian Kewangan untuk dapatkan peruntukan sewajarnya yang kami perlukan. Jika kerja-kerja penyelenggaraan ini tidak dijalankan, lebih banyak lagi jalan raya akan berlubang, nanti timbul pula isu lain lagi.”