Mulai 13 Oktober jam 10 pagi (Sabtu ini), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menukar aliran lalu lintas dari dua hala ke sehala di sebahagian Lebuh Ah Quee. Ia bertujuan bagi mengurangkan kesesakan, melicinkan aliran trafik serta mengurangkan masalah konflik serta gangguan lalu lintas di laluan berkenaan.

Menurut MBPP, sebahagian Lebuh Ah Que iaitu dari persimpangan Lorong Pit menuju ke Lebuh Pantai akan menjadi jalan sehala berbanding dua hala ketika ini dan sistem itu akan dijalankan secara percubaan selama tiga bulan. Pemandu dinasihati mematuhi arah aliran lalu lintas dan larangan yang ditetapkan demi keselamatan orang ramai serta kelicinan aliran trafik di kawasan berkenaan.

MBPP juga menjemput orang ramai untuk mengemukakan pandangan, ulasan, bantahan atau persetujuan mengenai cadangan pertukaran lalu lintas berkenaan dengan menulis surat kepada jabatan itu atau menghubungi di talian 04-2592015/04-2592327 atau e-mel ke alamat zainuddin@MBPP.gov.my.