Selain daripada varian-varian Ford Ranger terbaru yang kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, varian paling tinggi, Ranger Raptor turut dipertontonkan. Bagaimanapun, model ini hanya akan dilancarkan ketika berlangsungnya pameran Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, November nanti.

Tentang harga, kami difahamkan ia nanti akan dijual pada harga yang tidak jauh berbeza daripada Raptor yang sudah diperkenalkan dipasaran serantau sebelum ini. Sebagai bandingan, Ranger Raptor yang diperkenalkan di Australia pada harga AUD$74,990 (RM222,528), manakala di Thailand pula dengan harga 1.699 juta baht (RM210,000).

Sama seperti varian-varian XLT+ dan Wildtrak, versi Raptor menggunakan enjin baru, 2.0L EcoBlue empat-silinder dengan ciri bi-turbo, yang menjana sebanyak 213 PS kuasa dan juga 500 Nm meter. Bagi transmisi, ia menggunakan kotak gear automatik baru dengan 10-kelajuan dengan ciri SelectShift.

Perbezaannya ialah penampilan yang diberikan; dengan kedudukan yang sedikit lebih tinggi dan lebar, serta gril depan dengan tulisan Ford yang besar – imej yang diwarisi dari model trak besar Ford F-150 yang terkenal di Amerika.

Dari segi spesifikasi, ia dijangka ditawarkan dengan senarai yang sama dengan versi Raptor yang telah pun diperkenalkan dipasaran lain sebelum ini, misalnya Thailand dan juga Australia. Antara ciri yang melengkapinya termasuk kawalan kestabilan ESC, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam, kawalan beban adaptif dan bantuan mengekalkan lorong. Ciri autonomous emergency braking (AEB) dan kawalan cruise yang ada pada model Ranger Wildtrak 4×4 juga dijangka akan turut ditawarkan.

Kalau berminat, Sime Darby Auto Connexion menawarkan peluang untuk memenangi sebuah Ford Ranger Raptor bagi setiap pembelian mana-mana varian Ranger yang lain. 888 pelanggan pertama yang mendaftarkan Ford Ranger baru mereka akan turut menerima baucar barangan elektrik bernilai RM1,000.