Ford Ranger Raptor bakal dijual pada harga RM223k di Australia – RM39k lebih mahal dari versi Wildtrak

Ford Ranger Raptor bakal dijual pada harga RM223k di Australia – RM39k lebih mahal dari versi Wildtrak

Selepas Thailand, giliran Australia pula bakal menerima trak pikap Ranger T6 versi berprestasi tinggi sebenar iaitu Ranger Raptor. Menurut laporan CarAdvice, Ford Australia telah mengumumkan bahawa model berkenaan bakal dijual pada harga AUD$74,990 (RM222,528) dan akan menjengah bilik pameran tahun ini juga.

Oleh itu, pada pasaran berkenaan, Raptor dijual AUD$13,200 (RM39,170) lebih mahal dari Wildtrak di mana model teratas dengan enjin 3.2L turbodiesel berkenaan dijual pada harga AUD$61,790 (RM183,358). Sebagai perbandingan, di Thailand Ranger Raptor dijual pada harga 1.699 juta baht (RM210,000), manakala pada pasaran Malaysia versi Wildtrak dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,838.

Sebagai model berprestasi tinggi sebenar, Ranger Raptor dijana enjin diesel EcoBlue 2.0 liter baharu, yang disuap dengan dua buah pengecas turbo. Walaupun dengan kapasiti lebih kecil, enjin ini mampu mengekstrak 213 PS/500 Nm, berbanding enjin 3.2 liter lima-silinder Duratorq pada Ranger standard yang menghasilkan 200 PS/470 Nm.

Enjin empat-silinder tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik Getrag 10R80 10-kelajuan, menggantikan transmisi 6R80 enam-kelajuan automatik pada Ranger T6 biasa. Kotak gear ini menawarkan nisbah gear yang lebih lebar, bersama daya pecutan dan tindak balas yang lebih pantas serta penukaran gear yang lebih laju.

Perubahan mekanikal lain yang turut membezakan model lebih liar ini dari versi biasa adalah angkup brek hadapan dengan dua-pot 9.5 mm lebih besar bersama cakera berliang 332 mm, dan juga angkup omboh tunggal 54 mm pada bahagian belakang.

Manakala untuk suspensi pula, geometrinya telah diubah semula serta menerima pelbagai peralatan berprestasi tinggi. Untuk bahagian hadapan, ia diberikan set penyerap hentak yang menonjol, manakala bahagian belakang pula menerima sistem dengan spring jenis gegelung. Gandar belakang juga dibekalkan dengan Watt’s Linkage bagi memastikan ia hanya bergerak turun-naik, dan mengurangkan peralihan sisi walaupun pada kelajuan tinggi.

Keempat-empat ‘kaki’ Ranger Raptor ini menerima penyerap hentak 46.6 mm berprestasi tinggi Fox Racing Shox bersama sistem Position Sensitive Damping (PSD). Sistem tersebut mampu menyerap kejutan tinggi apabila trak pikap ini dibelasah pada laluan off-road, serta memberikan keselesaan ketika dipandu pada jalan raya biasa. Ia juga diberikan tayar all-terain dari BF Goodrich bersaiz 285/70, membaluti set rim unik berdiameter 17-inci

Bahagian luaran, Raptor lebih kecil ini turut dipengaruhi dengan rekaan dari F-150 Raptor. Gril hadapan kemasan dengan tulisan ‘FORD’ besar diberikan pada trak ini. Bampar hadapan pula direka bagi membolehkan ia dipasang terus pada kerangka badan dan ia dibina dengan prestasi ketahanan tinggi dan turut menempatkan lampu kabus LED dan liang aliran udara yang berfungsi.

Ford Ranger Raptor bakal dijual pada harga RM223k di Australia – RM39k lebih mahal dari versi Wildtrak

Flare pada setiap fender pula dibina dari bahan komposit bagi membolehkan ia bertahan dari kerosakan fizikal seperti calar dan lekuk, serta direka bagi disesuaikan dengan pergerakan strok suspensi lebih panjang serta roda yang lebih besar. Manakala pada bampar belakang pula, ia turut dilengkapi dengan bar tunda bersama dua cangkuk penyelamat yang mampu menampung beban 3.8 tan.

Masuk ke kabin, Ranger Raptor menampilkan imej sebuah model Ford Performance sebenar. Tempat duduk trak ini direka bagi menampung prestasi ketika pemandu berseronok di laluan off-road, disokong dengan roda stereng sport bersama pedal penukar gear dari material magnesium. Secara keseluruhan, kabin ini diberikan upholsteri kulit bersama serlahan jahitan benang biru, manakala kluster paparan pula dibina untuk kawalan pelbagai mod pemanduan.

Ford Ranger Raptor juga nampaknya hampir pasti di bawa ke Malaysia kerana selepas pendedahan model ini diperingkat global, satu laman khas untuk model berkenaan telah muncul pada laman sesawang rasmi Ford Malaysia yang dibuat bagi sesiapa yang berminat untuk mendaftarkan minat mereka. Harga untuk model ini masih lagi menjadi teka-teki, tetapi harga di Thailand dan Australia yang telah diketahui seperti di atas mungkin boleh menjadi bayangan petunjuk.

GALERI: Pendedahan Ford Ranger Raptor untuk peringkat global di Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required