Ford Ranger adalah antara trak pikap yang popular di Malaysia, dan kini, pengedarnya sedia menawarkan dua tambahan warna baru untuk model itu, iaitu Cool White (putih) untuk Ranger 2.2 FX4 pada harga RM121,888 dan Meteor Grey untuk 3.2 Wildtrak pada harga RM141,588. Harga ini adalah termasuk GST, tanpa insurans.

Sebelum ini, varian paling tinggi 3.2 liter tersebut pernah menerima versi warna Jet Black edisi terhad, sebagai tambahan kepada warna Pride Orange dan Cool White. Meteor Grey ini pula sebenarnya adalah warna asal bagi FX4 semasa ia diperkenalkan.

Bagi varian 3.2 Wildtrak Meteor Grey ini, ia juga akan menerima grafik Wildtrak sepanjang bahagian belakangnya, manakala FX4 pula mendapat pelekat unik dengan cat hitam berkilat pada gril, cermin sisi dan pemegang pintu. Rel bumbung masih lagi menggunakan warna hitam matte seperti sebelumnya, dan di tepi terdapat pemijak kaki sama seperti Wildtrak.

Spesifikasi enjin dua model ini masih sama, dengan FX4 2.2 liter masih menggunakan enjin empat silinder 2.2 liter turbodiesel berkuasa 158 hp dan 385 Nm tork, transmisi automatik enam kelajuan dengan pilihan pacuan serta hill descent control. Varian Wildtrak pula menggunakan enjin lima silinder 3.2 liter turbo diesel berkuasa 197 hp dan 470 Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Berat yang boleh dibawa oleh Wildtrak 3.2 liter adalah satu tan, manakala pada bahagian kelengkapannya, ia mempunyai sistem informasi dan hiburan SYNC 3 dengan skrin lapan inci dan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Semua model Ranger ini diberi jaminan tiga tahun atau 100,000 km.