Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan penawaran Ford Ranger Wildtrak edisi terhad, dengan warna Jet Black pada varian 3.2L WildTrak Automatic 4×4 High Rider. Sebelum ini, trak pikap tersebut hanya ditawarkan dalam warna Pride Orange dan Cool White.

Tidak menampilkan perubahan yang ketara, melainkan ia didatangkan dengan jalur perlumbaan bermula dari hud hadapan hingga ke belakang, sebagai menampakkan kelainan pada model edisi terhad ini.

Tiada perubahan mekanikal dilakukan pada model ini, dan ia masih lagi menggunakan enjin Puma P5AT lima silinder 3.2 liter Duratorq TDCi. Dengan gabungan transmisi automatik 6R80 enam kelajuan, ia mampu menghasilkan 197 hp pada 3,000 rpm dan 470 Nm pada antara 1,750 hingga 2,500 rpm.

Spesifikasi dan kelengkapan lain juga masih sama, termasuk sistem informasi dan hiburan SYNC 3. Ranger WildTrak adalah model Ford pertama di Malaysia yang menggunakan sistem ini, menggantikan SYNC 2. Kelengkapan utama pada kenderaan ini adalah antaranya skrin sesentuh lapan inci dengan teknologi sentuhan kapasitif yang membolehkan operasi ‘pinch and swipe‘, serta integrasi Apple CarPlay dan Android Auto, Pandora serta Google Maps+.

Ford Ranger 3.2L WildTrak Jet Black edisi terhad ini dijual pada harga RM141,588 atas jalan, tidak termasuk insurans. Ini adalah sedikit lebih daripada harga asal RM139,838 yang ditetapkan pada WildTrak 3.2L standard.