Ford Ranger Raptor muncul di laman rasmi Ford M’sia

Ford Ranger Raptor muncul di laman rasmi Ford M’sia

Teruja dengan kemunculan Ford Ranger Raptor minggu lalu? Ok, ini merupakan berita yang lebih realistik kepada peminat Raptor tempatan – trak pikap berprestasi tinggi tersebut telah muncul di laman sesawang Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar rasmi Ford di Malaysia. Bersama dengan kemunculan berkenaan, SDAC turut menyertakan laman khas untuk pendaftaran bagi mereka yang berminat dengan Ranger Raptor ini.

Namun sedikit mencurigakan, laman terbabit memaparkan Ranger Raptor dalam bentuk prototaip, dan bukan model sebenar yang membuat kemunculan sulung di Thai sebelum ini. Turut tertulis di laman pendaftaran tersebut adalah perincian model pasaran tempatan “akan disiarkan pada tarikh akan datang”.

Ford Ranger Raptor diasaskan dari model Ranger T6 standard, namun ia telah mendapat kejuruteraan semula yang ekstensif. Trak pikap ini dijana enjin diesel dari siri Panther EcoBlue 2.0 liter baharu, disuap dua pengecas turbo bagi menghasilkan 213 PS/500 Nm yang jelas lebih berkuasa dari enjin turbodiesel Puma 3.2 liter Duratorq (200 PS/470 Nm) pada varian tertinggi Ranger standard.

Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik Getrag 10R80 10-kelajuan bersama Terrain Menagement System bagi memberikan pelbagai mod pemanduan untuk off-road dan permukaan tar. Kerangka model ini juga dibina lebih tegar dari Ranger biasa, serta dipadankan dengan sistem brek lebih besar bersama suspensi dengan geometri dan talaan baharu dan turut menerima penyerap hentak Fox Racing Shox.

Ranger Raptor turut menerima penggayaan baharu yang bukan sahaja lebih agresif, malah turut berfungsi sepenuhnya. Rekaan pada bampar hadapan (yang dipadankan terus pada kerangka) dan belakang memberikan sudut approach 32.5 darjah, sudut ramp over 24 darjah dan sudut departure 24 darjah – membolehkan ia melalui laluan off-road dengan lebih baik.

Setiap kemasan dan pelindung pada bampar, fender dan bahagian-bahagian sisi trak pikap ini juga dibina dengan bahan komposit khas bagi membolehkan ia menahan calar mahupun kemik, serta diberikan plat logam pelindung khas dengan tebal 2.3mm di bawah badan bagi melindungi komponen sistem transmisi, radiator, sistem stereng berkuasa elektrik (EPAS), penggerak aksesori hadapan (FEAD), cross-member hadapan, takung minyak enjin dan juga differential hadapan.

Jika ia sampai ke Malaysia kelak, Ranger Raptor pastinya akan berada lebih tinggi dari model 3.2 liter Wildtrak sedia ada. Dengan kelengkapan yang diberikan, Ranger Raptor tidak boleh dipandang seperti trak pikap lain kerana statusnya lebih seperti Mitsubishi Lancer Evolution berbanding Lancer GT ataupun Honda Civic Type R berbanding Civic FC standard. Persoalannya, berapa agaknya harga trak pikap ini nanti? Anda rasa?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required