GALERI: Honda Civic 1.5T Premium 2016 di Malaysia

HondaCivic_Ext-4

Biarpun kini Perodua Bezza cukup hangat diperkatakan di pasaran Malaysia, namun jangan terlupa dengan kehadiran model-model lain, termasuk Honda Civic baharu, yang antara model hangat untuk tahun 2016.

Kehadiran Civic generasi ke-sepuluh ini memang menjadi buah mulut kerana ia turut ditawarkan dengan varian turbo bagi enjin 1.5 liter. Malah, varian 1.5 Turbo ini juga ditawarkan dengan dua pilihan iaitu 1.5 Turbo dan spesifikasi tertinggi 1.5 Turbo Premium yang menghiasi ruangan galeri ini.

Bagi 1.5 Turbo Premium, ia ditawarkan pada harga RM135,800, iaitu lebih mahal berbanding varian 1.8S (RM113,800) dan 1.5 Turbo (RM127,800). Semuanya adalah harga atas jalan termasuk insurans dan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan.

Jika Civic generasi ke-sembilan mempertaruhkan elemen yang elegan dan lari dari imej sporty tidak seperti Civic generasi sebelumnya terutamanya yang ke-lapan, bagi Civic generasi ke-10 ini, ia seakan kombinasi antara elegan dan sporty.

Menurut Honda, orang membeli jentera seperti Civic untuk mendapatkan pemanduan yang lebih selesa, dalam masa yang sama pengendalian yang mantap serta pastinya penjimatan bahan api yang efisien. Bukannya seperti zaman dahulu, kebanyakannya mengaitkan Civic dengan aura serba sporty. Asal model Civic, mesti ditampilkan dengan sifat sporty dan garang.

HondaCivic_Ext-22

Permukaan badannya yang solid dan rekaan kabin yang lebih tegap merupakan simbol utama kekuatan karakternya. Malah ia turut menampilkan bahagian hud yang lebih panjang, juntaian hadapan yang lebih sporty, sekali gus menyerlahkan lagi penampilannya yang lebih agresif. Malah ia umpama sebuah jentera coupe lima-pintu, dengan garisan bumbung yang lebih landai mengunjur ke belakang.

Varian 1.5T Premium juga ditampilkan dengan lampu utama dan lampu kabus hadapan LED, selain lampu nyalaan siang LED, yang disambung pada bar krom yang agak lebar. Malah bampar hadapan tampak lebih sporty dengan adanya corong udara di bawahnya, serta lampu kabus dengan unit LED.

Penampilan sisinya juga kelihatan lebih mantap dengan garisan sisinya yang nampak melunjur dari hadapan ke belakang merentangi gerbang roda hadapan. Malah Turbo Premium ini turut menerima pemegang pintu krom, berbanding warna yang sama dengan badan bagi varian lain. Bukan itu sahaja, ia turut dipadankan dengan rim aloi 17-inci, berbanding varian 1.8S yang hanya 16-inci.

Pada bahagian belakangnya, lampu berbentuk-C yang nampak lebih garang bersama lampu LED, manakala lampu brek, indikator dan undur masih menggunakan mentol. Bampar belakang juga direka agar seiring sejalan dengan rekaan bahagian hadapan, dan ia turut menampilkan corong ekzos berkembar tersembunyi bagi model pengecas turbo ini.

Mengenai ukurannya, ia ternyata lebih panjang, lebih lebar tetapi lebih rendah berbanding Civic gen-9. Ia memiliki ukuran 4,630 mm panjang (105 mm lebih panjang berbanding Civic gen-9), selebar 1,799 mm (lebih 44 mm), berketinggian 1,416 mm (kurang 19 mm) dan jarak roda pula 2,698 mm (lebih 28 mm).

Selain itu, Civic gen-10 ini juga 30 kg lebih ringan iaitu hanya 1,195 kg berbanding Civic gen-9 (1,225 kg). Malah 12% daripada kerangkanya diperbuat daripada keluli berketahanan ultra-tinggi. Selain dikatakan lebih ringan, penggunaan keluli jenis ini juga dikatakan telah mempertingkatkan sebanyak 25% bagi ketegaran kilasannya (torsion rigidity).

Di dalamnya, ia dilengkapi dengan ciri premium yang menjalari segenap ruang. Malah tempat duduk balutan kulit upholstery dengan tona hitam juga menambahkan keselesaan. Ia turut menampilkan skrin bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi, kamera undur dan sistem hiburan serta penghawa dingin dua-zon. Selain ditampilkan dengan skrin LCD warna-sepenuhnya untuk paparan meter, speedometer dan paparan pelbagai-info.

HondaCivic_Int-34

Bukan itu sahaja, sama seperti HR-V, terdapat bahagian ala ‘terowong’ tersorok di bawah centre stack yang menempatkan punca kuasa, port bagi USB dan HDMI. Selain itu, kotak konsol tengah juga agak dalam dan tidak ada masalah untuk menyembunyikan beg dompet mahu pun telefon pintar anda. Malah terdapat juga dua pemegang cawan yang terletak di antara dua bahagian tersebut, satu boleh dialihkan dan satu lagi tidak.

Kit standard yang terdapat bagi semua varian termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, Remote Engine Start (boleh menghidupkan enjin dan penghawa dingin dalam jarak antara 10-meter), dan Walk Away Auto Lock (yang boleh mengunci kenderaan dalam 30 saat, atau jarak kunci lebih dua meter dari kenderaan), kawalan kelajuan, dan tempat duduk pemandu dengan lapan-cara pelarasan berkuasa.

Selain itu, semua model turut dilengkapi dengan stereng pelbagai-fungsi balutan kulit dengan butang kawalan untuk suara, sistem infotainmen dengan skrin sentuh tujuh-inci berserta kamera undur pelbagai-pandangan dan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Model Turbo juga menerima kulit upholstery (dengan jaluran tengah efek-karbon seperti Mazda 2), cermin pandang belakang anti-silau, pedal penukar gear dan kekemasan aluminium, sementara Turbo Premium ditambah dengan navigasi dan penghawa dingin dua-zon.

Bagi aspek keselamatan aktif dan pasif, elemen yang ditampilkan adalah standard bagi semua varian. Ini termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pra-tekanan dan ISOFIX. Walau bagaimana pun, paparan titik buta Honda LaneWatch seperti yang ada pada model 1.5 RS bagi spesifikasi Thailand, tiada bagi model pasaran Malaysia.

Di bawah bonetnya, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu bagi varian 1.8S, enjinnya dikekalkan iaitu 1.8 liter i-VTEC SOHC naturally-aspirated empat-silinder, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 141 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 174 Nm pada takat 4,300 rpm.

HondaCivic_Ext-32

Manakala varian 1.5 Turbo pula dijanakan oleh enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo dengan hamburan kuasa sehingga 173 PS pada takat 5,500 rpm dan tork puncak 220 Nm antara 1,700 hingga 5,500 rpm.

Membantu memperhebatkan lagi prestasi enjin, kedua-dua varian enjin ini turut dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT), berbanding kotak gear konvensional automatik (AT) seperti pada generasi terdahulu.

Mengenai penggunaan bahan apinya, bagi varian 1.8, ia dikatakan mampu memberikan penjimatan sehingga 6.3 liter bagi setiap 100 km dan 1.5 Turbo pula lebih menjimatkan iaitu sekitar 5.8 liter bagi setiap 100 km.

Mahu mengetahui kehebatan pacuan dan pengendalian Honda Civic 2016? Anda boleh membaca ulasan pandu uji Civic baharu ini di Chiang Mai, Thailand, bagi model spesifikasi negara tersebut – di sini. Anda juga boleh mengetahui spesifikasi penuh dan elemen lengkap bagi semua model Civic baharu ini menerusi CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required