Sabah antara negeri yang mempunyai budaya permotoran yang agak kuat dalam Malaysia. Dari scene autoshow, stance, JDM old school sehinggalah kepada penghasilan jentera-jentera drag, kereta-kereta dari Sabah sentiasa hadir dengan elemen ‘wow’ yang memberi impak besar. Namun sehingga kini, negeri di bawah bayu tersebut masih lagi belum mempunyai litar lumba yang sah.

Ini berita baik untuk ‘bussku-bussku’ di Sabah, menurut laporan Bernama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau berkata sebuah litar lumba bertaraf antarabangsa yang dijangka dibina tahun depan dengan kos RM132 juta. Litar tersebut akan dibina oleh syarikat milik kerajaan negeri KKIP Autocity Sdn Bhd sebagai sebahagian fasa kedua Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan ia diyakini dapat memacu pembangunan sukan permotoran negeri tersebut.

“Tanah untuk membina litar lumba ini sudah dikenal pasti dan kini dalam proses pengambilan tanah,” katanya ketika merasmikan KKIP Sabah Drag Battle 2018 hujung minggu lalu, yang turut menarik peryertaan kelab sukan permotoran dari Sarawak, Semenanjung serta Brunei dan Thailand.

Menurut Madius lagi, pembinaan litar lumba itu juga dilihat mampu menjadi platform mencungkil bakat-bakat muda sebagai pelumba profesional untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ini sekali gus mengurangkan penglibatan anak muda dalam aktiviti lumba haram seterusnya menggalakkan mereka mengamalkan aktiviti lebih lebih sihat dan berkualiti,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah melihat pembinaan litar lumba itu bakal menyumbang kepada pembangunan industri sukan pelancongan serta rekreasi sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan kecil dan sederhana untuk terbabit dalam bidang berkaitan automotif seperti perkhidmatan bengkel dan perniagaan alat ganti kenderaan.