Perodua umum pelantikan Zainal Abidin Ahmad sebagai CEO baharu bagi menggantikan Aminar

Perodua umum pelantikan Zainal Abidin Ahmad sebagai CEO baharu bagi menggantikan Aminar

Dato’ Zainal (kiri) & Datuk Aminar (kanan)

Perodua mengumumkan pelantikan Dato’ Zainal Abidin Ahmad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu bagi menggantikan Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh yang bersara selepas sembilan tahun menerajui syarikat tersebut.

Di bawah kepimpinan Aminar, Perodua bukan sahaja dapat meningkatkan bahagian pasarannya daripada 31.2% pada 2010 kepada lebih 37% setakat tahun ini, malah berjaya melaksanakan inisiatif transformasi dalam Kumpulan Perodua.

Prestasi lepas jualan menyaksikan peningkatan yang cukup ketara, begitu juga dengan kecekapan kos, kualiti dan penghantaran. Perodua juga melaburkan RM1.3 bilion untuk membina Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, kilang Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di negara ini yang diperakui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Perodua umum pelantikan Zainal Abidin Ahmad sebagai CEO baharu bagi menggantikan Aminar

“Ahli Lembaga Pengarah Perodua ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk (Dr) Aminar di atas sumbangan beliau khususnya kepada Perodua serta kepada industri automotif Malaysia secara keseluruhannya,” kata Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Zainal Abidin Ahmad sebelum ini merupakan Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd. Beliau dijangka meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi kecekapan dan daya saing dengan tujuan mengembangkan lagi perniagaan eksport Perodua.

“Untuk tujuan tersebut, Ahli Lembaga Pengarah Perodua melihat Dato’ Zainal adalah calon pemimpin sesuai kerana beliau berupaya menggerakkan Perodua serta para vendor, pembekal dan pengedarnya ke peringkat serantau. Membawa Perodua ke peringkat rantau memerlukan seseorang yang bukan sahaja boleh memimpin malah mampu mengukuhkan jalinan hubungan dengan kerajaan dan bersama-sama memandu arah industri automotif yang semakin mencabar,” kata Tan Sri Asmat.

Sambungnya lagi, “Dato’ Zainal telah membuktikan bahawa beliau dapat bekerja dengan baik bersama semua pemegang saham, termasuklah Daihatsu Motor Company of Japan dalam membawa teknologi baharu ke Perodua dan menggalakkan pelaburan di dalam negara. Masa hadapan Perodua bergantung kepada keupayaan kami untuk bekerja lebih harmoni dengan Daihatsu kerana mereka sentiasa menyokong kami dan Dato’ Zainal membuktikan bahawa dia sesuai untuk tugas tersebut.”

Perodua umum pelantikan Zainal Abidin Ahmad sebagai CEO baharu bagi menggantikan Aminar

Tempoh perkhidmatan Aminar selaku Presiden dan CEO Perodua akan tamat pada 31hb Disember 2018. Zainal akan mengambil alih jawatan tersebut dari 1 Januari 2019.

Zainal Abidin, 52, memegang ijazah dalam Pengurusan Sistem Maklumat dan Perakaunan daripada Pacific Lutheran University, Washington, USA. Beliau memulakan kerjayanya di Perodua pada tahun 1995 di jabatan kawalan kos, dan terlibat secara langsung dalam mewujudkan struktur kos pengeluaran Perodua.

Beliau juga akan menjadi Presiden dan CEO yang pertama dipilih dari keluarga Perodua. Antara pencapaiannya termasuklah menyertai pembentukan Dasar Automotif Nasional (NAP) dan bekerja secara dekat dengan kerajaan Malaysia menerusi pelbagai badan di bawah MITI dalam menambahbaik lagi dasar tersebut.

Selain itu, beliau juga berperanan dalam penubuhan hab tren kuasa (powertrain) di Sendayan, Negeri Sembilan yang terdiri daripada Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (beroperasi 2016) dan kilang pengeluaran transmisi Akashi Kikai Sdn Bhd (beroperasi 2015).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required