Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (BUMIPEDA) menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan bahan api petrol dan diesel yang dijangka kering di semua tangki penyimpanan di stesen minyak menjelang 1 Januari 2019.

Menurut presidennya, Datuk Abg Samah Bachik, ia berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

“Sudah pasti kita tidak mahu menambah simpanan minyak pada penghujung bulan pada harga yang mahal, namun terpaksa jual mengikut kadar lebih murah berkuat kuasa 1 Januari. Jika sebelum ini kerajaan menggunakan sistem apungan harga mengikut bulanan, kita masih boleh beroperasi dengan membuat keuntungan jualan bagi menampung kos operasi.

“Bagaimanapun, keputusan kerajaan menggunakan semula apungan harga bahan api secara mingguan dan berkuat kuasa 1 Januari ini bakal mencetuskan kerugian kepada pengusaha,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Tambahnya lagi, keengganan pengusaha stesen menambah simpanan minyak dalam tangki mungkin dilihat sebagai protes, namun percaturan itu terpaksa dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak mengalami kerugian ketara.

“Sepatutnya kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan, jemputlah kami untuk berunding dan memberi laluan untuk menyuarakan pandangan supaya apa saja penyelesaian yang dilakukan bersifat ‘menang-menang’. Memang betul tanggungjawab kerajaan ialah untuk menjaga kebajikan pengguna, namun kami sebagai pengusaha stesen minyak perlu menampung operasi dengan menjana keuntungan.

“Bagaimana kami nak meneruskan operasi dan memenuhi permintaan pengguna jika wujud ketidakadilan dalam keputusan kerajaan berkaitan mekanisme penetapan harga minyak di pasaran,” katanya.

Menyuarakan penyelesaian, Abu Samah berkata langkah terbaik ialah menggunakan penetapan harga bahan api di pasaran secara bulanan, sekali gus memudahkan pengusaha stesen minyak menguruskan pembelian simpanan dan kadar penjualan kepada pengguna.

Pada 24 Disember lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini.

Katanya, ia berikutan penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara bulanan, malah kerajaan bersedia mengembalikan mekanisme mengikut mingguan bagi memberi manfaat kepada pengguna.