Retromotif: Volvo 850 Estate BTCC – wagon Sweden yang pernah menggemparkan dunia perlumbaan

Retromotif: Volvo 850 Estate BTCC – wagon Sweden yang pernah menggemparkan dunia perlumbaan

Bagi saya, era 90’an adalah kemuncak atau klimaks untuk dunia automotif sama ada dari segi teknologi dan juga dunia perlumbaan. Pada era ini, segala rekaan mekanikal yang telah dimulakan pada pada 70’an dan 80’an telah berada pada tahap yang paling matang, dan ia dibantu dengan teknologi elektronik yang begitu minimal.

Ia bukan sahaja menjadikan kereta-kereta tahun 90’an sebagai kereta yang lengkap, tetapi masih mengekalkan sifat ‘mekanikal’ yang masih lagi asli. Begitu juga dengan dunia perlumbaan. Pada era ini, kereta-kereta lumba masih lagi bersifat mekanikal, dan sifatnya di litar mencerminkan pergerakan tangan, kaki dan otak pelumba itu sendiri secara total.

Selain dari Formula 1 dan Kejuaraan Rali Dunia (WRC), ada satu lagi disiplin perlumbaan yang sangat mengujakan untuk ditonton pada era 90’an iaitu Touring Car, dan antara siri paling hebat ketika itu tentulah British Touring Car Championship (BTCC).

Perlumbaan ini menampilkan kereta-kereta produksi yang kelihatan stok dari segi rupa, sama seperti kereta-kereta sedan pilihan ayah-ayah di bilik pameran, tetapi ia diberikan rim yang besar serta badan yang sangat rendah sehingga kesemua tayar tenggelam ke dalam fender, namun berupaya berlumba dengan begitu lasak dilitar sehingga ada yang melompat ketika melanggar curb pada sisi litar.

Volvo 850 Estate 1994 (kiri) dan model 850 T5 R (kanan) yang muncul pada tahun 1995

Saya percaya, antara banyak-banyak jentera yang bertanding dalam BTCC, ramai peminat-peminat sukan bermotor diluar sana tentu ingat akan kereta ini – Volvo 850 Estate BTCC 1994, kereta dengan bentuk badan wagon pertama yang menyertai perlumbaan tersebut.

Ketika itu, wagon sering dikaitkan sebagai model utiliti keluarga yang digunakan oleh emak-emak dan ayah-ayah untuk ke pasaraya atau bercuti kerana ia mampu untuk menampung kargo yang banyak. Tetapi untuk dijadikan sebuah kereta lumba, ia dilihat mempunyai kelemahan iaitu bahagian belakangnya yang besar terutama lebihan pada bahagian belakang gandar mungkin akan mengganggu dinamik pemanduan. Jadi kenapa Volvo tampil dengan idea yang tak masuk akal ini?

Pada awal era 90’an, Volvo mula dikenali sebagai jenama yang mempromosikan ‘keselamatan’. Namun naib presiden Volvo waktu itu, Martin Rybeck mahu merubah imej Volvo sebagai sesuatu yang lebih mengujakan. Ketika itu mereka telahpun menghasilkan sebuah model ‘sleeper’ iaitu 850 Turbo (model 850 T5 R belum lagi wujud), dijana enjin lima-silinder sebaris 2.3 liter turbo menghasilkan 222 hp dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat.

Volvo sebelum itu telahpun menggemparkan dunia touring car dengan Volvo 240 Turbo yang telah merangkul gelaran Kejohanan Touring Car Eropah (ETCC) 1985, kejohanan DTM Jerman juga pada tahun yang sama serta menjuarai Kejohanan Touring Car Australia (kini dikenali sebagai Kejohanan V8 Supercar Australia) untuk musim 1986. Jadi Rybeck mahu menggunakan formula yang sama untuk tujuannya kali ini, dan BTCC merupakan pentas pertandingan yang sesuai.

Prototaip Volvo 850 Estate BTCC yang dibina oleh SAM. Gambar dari laman Blocket.se ketika kereta ini mahu dijual pada tahun 2011

Buat permulaan, Volvo menggunakan khidmat sebuah syarikat penala dari Sweden iaitu Steffanson Automotive (SAM) bagi menghasilkan sebuah prototaip perlumbaan yang diasaskan dari Volvo 850. Namun ketika SAM mahukan sebuah 850 untuk projek tersebut, hanya stok model wagon yang ada di kilang Volvo pada waktu itu. Memandangkan masa yang diberikan adalah agak singkat, mereka tidak boleh menunggu untuk sebuah sedan dihasilkan, sebaliknya menggunakan sahaja versi wagon yang ada.

Peringkat seterusnya, Rybeck melantik Tom Wilkinshaw Racing (TWR) dari England dengan kontrak tiga tahun bagi menghasilkan kereta lumba tersebut dan mengendalikan pasukan, manakala Volvo akan melakukan tugas-tugas sokongan, pemasaran dan hubungan awam. Menerusi ujian yang dilakukan oleh TWR, mereka menemui bahawa model wagon berkenaan mempunyai kelebihan dari segi aerodinamik berbanding sedan kerana bumbungnya yang panjang!

Jadi dengan nilai pemasaran yang tinggi serta kelebihan yang ada, Volvo mengambil keputusan agar jentera yang mahu dihasilkan untuk perlumbaan adalah muktamad menggunakan 850 Estate – dan projek ini dirahsiakan dari pengetahuan umum.

Ketika itu BTCC dipertandingkan di bawah undang-undang FIA Super Touring Class 2. Jadi rupa luaran dan kabin (papan pemuka) dan juga enjin perlulah sama dengan model di bilik pameran. Undang-undang itu juga menetapkan bahawa kereta yang bertanding perlulah menggunakan enjin 2.0 liter tanpa bantuan turbo dengan putaran tidak melebihi 8,500 rpm, pacuan roda hadapan dan berat minima 950 kg.

Retromotif: Volvo 850 Estate BTCC – wagon Sweden yang pernah menggemparkan dunia perlumbaan

Jadi rupa asal 850 masih dikekalkan dan segala yang tidak diperlukan dibuang. Bersama kelengkapan keselamatan yang menepati spesifikasi, TWR berjaya membina wagon ini dengan berat 950 kg yang ditetapkan, atau sekitar 600 kg lebih ringan dari asal.

Enjin 2.3 liter asal diturunkan kapasiti kepada hanya 2.0 liter dan tiada lagi pengecas turbo. Namun TWR melakukan ubahsuai yang ekstrem terhadap kepala silinder stok – sebahagian kawasan kepala silinder tersebut telah dipotong bagi menempatkan aci sesondol yang jauh lebih besar, manakala bahagian kebuk pembakaran dipotong serong bagi memberikan sudut injap yang paling optimum.

Hasilnya, enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 290 hp walaupun dengan kapasiti lebih kecil dan tanpa suapan turbo! Apa yang lebih menarik, kereta ini adalah jentera pertama dalam BTCC yang dilengkapi unit catalytic converter pada sistem ekzos bagi mengurangkan pencemaran udara, dan ciri ini kemudian diwajibkan kepada semua kereta yang bertanding.

Untuk nisbah berat yang lebih sempurna dan juga titik graviti yang lebih rendah, enjin tersebut diletakkan lebih jauh kedalam ruang enjin berbanding model standard. Kuasa disampaikan ke kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear sequential enam-kelajuan.

Retromotif: Volvo 850 Estate BTCC – wagon Sweden yang pernah menggemparkan dunia perlumbaan

Bentangan sistem suspensi kereta lumba ini masih dikekalkan iaitu sistem topang McPherson di hadapan dan sistem Delta Link Volvo pada bahagian belakang. Penyerap hentak perlumbaan dipadankan dan dilaras dengan begitu rendah sehinggakan sebahagian rim OZ 18-inci yang diberikan turut tenggelam ke dalam fender. Untuk berhenti, wagon ini menerima sistem brek lengkap dari Brembo.

Untuk mengemudi dua buah wagon yang dihasilkan ini, Volvo TWR berjaya mendapatkan dua orang pemandu berpengalaman pada hujung tahun 1993. Pertama adalah pelumba yang sedang meningkat naik untuk menuju ke Formula 1 iaitu Rickard Rydell dari Sweden yang ketika itu berumur 26 tahun. Pada tahun 1992 dan 1993, Rydell berlumba dalam F3 dan pernah memenangi Macau GP. Untuk musim 1994, Rydell hampir menandatangani kontrak untuk berlumba dalam F3000 di Jepun, namun kerana masalah paru-paru yang dihadapi menyebab beliau perlu selalu pulang ke Sweden, beliau tekad untuk mencuba nasib di BTCC.

Manakala pemandu kedua adalah Jan Lammers dari Belanda. Walaupun agak berusia, berumur 38 tahun ketika itu, Lammers mempunyai pengalaman yang cukup luas – pernah memandu dalam perlumbaan Le Mans dan Formula 1. Kedua-dua pemandu ini masih tidak diberitahu bahawa mereka perlu memandu sebuah wagon dalam BTCC ketika menandatangani kontrak berkenaan.

Kereta ini didedahkan secara rasmi pada perlumbaan pertama BTCC musim 1994 iaitu 4 April, bertempat di litar Thruxton, Hampshire. Pelbagai reaksi dari lawan dan kawan apabila pertama kali melihat kedua-dua kereta berkenaan, dan rata-rata merasakan ia sesuatu yang lucu.

Retromotif: Volvo 850 Estate BTCC – wagon Sweden yang pernah menggemparkan dunia perlumbaan

Rickard Rydell

“Ketika saya menandatangani kontrak dengan TWR, saya tak tahu bahawa kami akan berlumba dengan model Estate (wagon)”, kata Rydell dalam temuramah bersama thecheckeredflag.co.uk awal tahun ini.

“Pesaing-pesaing kami, yang berlumba sebahagian besarnya mahu memperkuatkan imej sporty mereka, tidak suka kerana terpaksa berlumba dengan sebuah Estate. Banyak ejekan yang kami terima dari pelumba-pelumba lain – tetapi ia bukan masalah. Untuk membalasnya, dalam satu perlumbaan kami telah meletakkan satu patung anjing collie yang besar pada ruang but belakang ketika parade lap!” kata Rydell lagi dalam satu temuramah lain.

Jan Lammers pula menyatakan bahawa ada pelumba yang memanggil wagon ini sebagai “kereta pembuat roti”, dan ada juga yang berkata “dipotong oleh kereta penghantar pizza” ketika dia dan Rydell memintas mereka.

Volvo dan TWR tidak menyasarkan keputusan yang baik untuk musim pertama mereka dalam BTCC, kerana mereka dalam proses belajar dan memungut seberapa banyak data bagi digunakan pada musim-musim akan datang. Malah Rydell dan Lammers juga sebenarnya tidak pernah menguji kereta-kereta tersebut sebelum bermulanya perlumbaan pertama BTCC musim 1994!

Namun kereta ini tetap tidak menghampakan dan mendatangkan impak yang besar dalam BTCC itu sendiri. Rickard Rydell berjaya mendapat kedudukan kelima ketika perlumbaan pusingan ke tujuh yang berlangsung di litar Oulton Park. Setelah berakhirnya kesemua 21 perlumbaan pada musim tersebut, Rydell berada ditempat ke-14, dan Jan Lammers di tempat ke-15 dari 33 orang pelumba dalam BTCC musim 1994.

Dalam satu perlumbaan, pengulas lagenda Formula 1 dan juga BTCC, Murray Walker pernah berkata “Mereka ketawa ketika Volvo menyatakan mereka akan berlumba dengan Estate, tetapi sekarang mereka tidak lagi merasakan ia sesuatu yang kelakar”.

Namun untuk musim 1995, FIA telah merombak sedikit peraturan dalam BTCC dengan membenarkan penggunaan spoiler pada but belakang. Ini memberikan kelebihan aerodinamik pada model sedan, menyebabkan Volvo terpaksa merehatkan terus jentera wagon mereka dan beralih ke 850 sedan. Rickard Rydell menunjukkan kemajuan yang begitu signifikant pada musim kedua beliau dalam BTCC apabila berjaya menamatkan musim di tempat ketiga keseluruhan.

Musim 1996, Volvo masih menggunakan 850 Sedan dan Rydell sekali lagi mempertahankan tempat ketiga. TWR Volvo kemudian beralih untuk menggunakan Volvo S40 pada musim 1997, tetapi Rydell turun satu anak tangga pada musim berkenaan. Namun untuk musim 1998, Rydell akhirnya berjaya bergelar juara BTCC juga dengan memandu sedan S40. Sudah tentu, kejayaan ini semua bermula dengan lagenda 850 Estate pada tahun 1994.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required