Sejak Kementerian Pengangkutan mengambil alih operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pada 2018, sebanyak 90,000 saman telah dikeluarkan berkaitan kesalahan melebihi had laju yang dirakamkan oleh kamera terbabit. Walau bagaimana pun, daripada jumlah itu, hanya 10,000 saman sahaja yang dibayar, dengan jumlah kutipan yang bernilai RM3 juta.

Ini menyaksikan kekurangan pendapatan berjumlah RM24 juta, berdasarkan kadar RM300 per saman yang dikeluarkan, ujar menterinya Anthony Loke. Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan Ops Bersepadu dan kempen keselamatan jalan raya Tahun Baharu Cina (TBC) di Dengkil, Selangor, semalam.

“Kempen keselamatan jalan raya pada 2018 merekodkan sejumlah 21,041 kemalangan, berbanding 20,572 pada tempoh yang sama tahun 2017,” ujarnya.

Sepanjang tempoh perayaan TBC pada 2018, sejumlah 226 kematian direkodkan, berbanding 257 pada 2017. Loke berkata, “Pada pandangan saya, 226 kematian itu untuk tempoh dua minggu musim perayaan boleh dianggap sangat tinggi dan saya berharap semua pihak memandang serius dengan perkara ini, termasuk pengguna jalan raya, dan membantu mengurangkan statistik ini.”

Statistik yang dikeluarkan oleh polis pula, untuk tempoh Januari hingga September 2018, sebanyak 410,926 kemalangan direkodkan, berbanding 533,875 pada 2017, menurun sebanyak 23%. Begitu juga dengan kemalangan yang menyebabkan kematian sepanjang tempoh yang sama, dengan 4,823 pada 2018 berbanding 6,740 pada 2017.

“Mulai sekarang, tiada lagi diskaun saman yang akan dikeluarkan oleh JPJ untuk semua kesalahan,” ujar Loke. Ini termasuk tujuh kesalahan trafik; gagal patuhi lampu isyarat, memotong di laluan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar, menyebabkan laluan paling kanan terhalang dan memandu di lorong kecemasan – di mana sebanyak 27,013 saman telah dikeluarkan.

“Untuk tahun ini, saya menggesa polis dan JPJ untuk memfokuskan operasi mereka di jalan negeri dan persekutuan, kerana majoriti kemalangan jalan raya berlaku di jalan-jalan demikian jika mengikut statistik,” ujar Loke lagi. Untuk Ops Bersepadu tahun ini, yang bermula pada 29 Januari hingga 12 Februari 2019, seramai 10,000 penguatkuasa telah ditugaskan iaitu 6,140 daripadanya adalah polis, 1,800 dari JPJ, 150 dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan selebihnya sokongan dari agensi berkaitan.

Sebagai tambahan, PLUS juga akan menggerakkan 5,000 kakitangannya sepanjang musim perayaan untuk memastikan perjalanan pengguna lebuhrayanya lancar. Malah sepanjang kempen ini juga, Shell Malaysia akan menyediakan minyak untuk 40 penunggang motosikal dan mendemostrasi sistem titik buta untuk kenderaan berat.