Berdasarkan satu laporan Automotive News Europe, model gantian kepada Volvo V40 nanti tidak akan menggunakan bentuk hatchback kompak. Timbalan Presiden EMEA (Eropah, Timur Tengah dan Afrika) Volvo, Lex Kerssemakers memaklumkan portal berkenaan yang pengganti V40 nanti akan hadir dengan reka bentuk badan yang lebih tinggi, memandangkan pengguna sekaran lebih meminati kenderaan dengan penggayaan SUV.

“Terdapat dua corak dalam masyarakat yang kami perlu pertimbangkan berkaitan kenderaan. Pertama, orang semakin ramai yang ingin duduk lebih tinggi, dan kedua ia perlu mempunyai varian elektrik,” jelas beliau. Untuk varian EV, ia memerlukan ruang yang mencukupi untuk menempatkan bateri dengan jarak pemanduan paling kurang 300 km. Ini menjadikan rekaan kereta kompak dengan tempat duduk yang lebih rendah bukan satu pilihan yang baik.

Ketika ini, V40 menjadi model terakhir Volvo yang dibangun menggunakan platform Ford (Global C), dan penggantinya kelak dijangka akan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA). Volvo membangunkan platform berkenaan bersama Geely, dan ia digunakan pada model seperti XC40 dan Lynk & Co. Platform versatile berkenaan tidak hanya berupaya menampung penggunaan sistem janaan kuasa konsensional, tetapi turut boleh menggunakan sistem hibrid, plug-in hybrid dan elektrik penuh.

Volvo sebelum ini pernah menunjukkan gaya badan yang mungkin bagi model-model kompak akan datang keluarannya melalui model konsep 40.2 pada 2016 dulu. Ketika itu, ramai yang beranggapan ia hanya gambaran kepada model S40 – yang telah ditamatkan pengeluarannya pada 2012. Kini, rekaan itulah yang paling hampir kepada bayangan crossover untuk menggantikan V40 sedia ada.