Geneva Motor Show 2019 kelihatan seperti akan menjadi pentas menarik untuk perhatikan perkembangan terkini dunia automotif. Ini kerana, banyak pengeluar yang sedang membuat persiapan untuk pameran berkenaan, bersiap memperagakan jangkaan terhadap masa depan yang bakal ditawarkan.

Aston Martin juga tidak mahu ketinggalan dalam “perlumbaan” ini; akan tampil dengan sebuah model konsep Lagonda All-Terrain, yang akan mempertontonkan model produksi pertama seumpamanya bagi syarikat itu. Dengan itu, pengeluar kenderaan British itu mendedahkan imej teaser model berkenaan sekali, seperti yang dapat kita lihat di sini.

Ia nampak seperti memiliki profil luaran sebuah SUV yang berada rendah dari permukaan tanah, dengan roda besar, bonet dengan bentuk yang menonjol serta kamera kecil di tepi. Turut boleh ditemukan pada rekaan ini ialah sentuhan yang diwarisi dari Lagonda Vision Concept tahun lalu – kemasan lebar yang melingkari logo Lagonda di tengahnya.

Lagonda selepas ini akan menjadi kenderaan elektrik, walaupun ketika ini perincian mengenainya sistem janaan kuasanya masih belum diketahui. Bagaimanapun, syarikat ini ada memaklumkan, penggunaan platform sifar pembebasan karbon memberi ruang kepada adanya ruang yang lebih baik.

Model sebenar kereta ini nanti akan dipasang di kilang Aston Martin yang terletak di St. Athan, dan dijangka akan masuk pasaran pada 2021. Kilang yang sama juga akan memasang SUV pertama Aston Martin, model DBX, lewat tahun ini nanti.