Ducati Hypermotard 950 – perubahan utama generasi ketiga berbanding Hypermotard 939 generasi pertama

Ducati Hypermotard 950 – perubahan utama generasi ketiga berbanding Hypermotard 939 generasi pertama

Minggu lepas, kami berpeluang menjadi antara wakil pertama dari Malaysia menguji Ducati Hypermotard 950, yang baru dilancarkan untuk pasaran Eropah. Ini adalah Hyermotard generasi ketiga, dan sebelum kami siarkan laporan tunggang ujinya, kami mahu bawakan terlebih dahulu perbezaannya dengan Hypermotard 939 supaya anda mendapat idea awal mengenainya.

Sebagai pengenalan, Hypermotard 950 ini didatangkan dalam dua versi iaitu Standard dan SP, dengan kedua-duanya masih dikuasakan enjin Testastretta 11 937 cc yang sama, tetapi SP diberikan dengan pelbagai kelengkapan berprestasi. Kami akan terangkan lebih terperinci dalam laporan tunggang uji nanti, dan berikut adalah perbezaan model generasi ketiga ini berbanding Hypermotard 939 (generasi kedua).

Ducati Hypermotard 950 – perubahan utama generasi ketiga berbanding Hypermotard 939 generasi pertama

1- Enjin Testastretta 11 937 cc dipertingkat

Walaupun masih menggunakan enjin sama, unit pada Hypermotard 950 ini dipertingkat dengan piston baru untuk nisbah mampatan lebih tinggi (dari 12.6:1 ke 13.3:1), profail cam ekzos baru, throttle body 53 mm baru serta kalibrasi dan pemetaan baru. Hasilnya, kuasa meningkat 4 hp menjadi 114 hp pada 9,000 rpm dan tork 96 Nm pada 7,250 rpm. Selain daripada itu, 82% tork maksimum juga boleh dihasilkan bermula dari 3,000 rpm.

2- Gaya lebih motard

Hypermotard generasi ketiga ini dijadikan semula lebih kepada bentuk motard berbanding generasi kedua yang dikatakan lebih sporty. Disebabkan itu, anda boleh melihat banyak rekaan seperti generasi pertama dibawa semula seperti pada bahagian ekor belakang, ekzos bawah tempat duduk, kerangka belakang jenis trellis serta paruhnya.

3- Perubahan ergonomik

Menyokong gaya yang dijadikan lebih lagi kepada motard, Ducati turut menjadikan ergonomik Hypermotard 950 ke arah yang sama. Bahagian pemegang dijadikan lebih lebar manakala rangka tangki bahan api serta bahagian tengah tempat duduk dijadikan lebih kurus supaya penunggang boleh mengepitnya dan memudahkan kaki memijak tanah apabila berhenti, walaupun sebenarnya tempat duduk Hypermotard 950 ini lebih tinggi (+20 mm menjadi 870 mm).

4- Klac jenis hidraulik

Selain enjin, bahagian transmisi juga dipertingkat, dengan kini ia menggunakan klac jenis hidraulik serta sistem slip and assist. Sudah tentu, dengan tetapan seperti ini, penukaran gear menjadi lebih lancar dan tarikan tuil klac adalah lebih lembut. Pergi kepada model SP, ia menjadi lebih menarik dengan adanya quickshifter naik dan turun gear.

5- Sistem bantuan elektronik lengkap

Pakej elektronik yang diberikan pada Hypermotard 950 ini juga adalah antara yang terkini, dengan fungsi utamanya dikawal unit pengukur inertia (IMU) 6-axis oleh Bosch. Melaluinya, sistem seperti Cornering ABS dengan Ducati Slide by Brake), Ducati Traction Control EVO, Ducati Wheelie Control EVO, Ducati Quick Shift (SP) dan tiga mod tunggangan dapat disediakan.

6- Panel instrumen TFT 4.3 inci

Sebagai sebuah model baru, sudah tentu, Hypermotard 950 ini diberikan panel instrumen baru, yang kini adalah unit TFT 4.3 inci yang mendapat inspirasi daripada Panigale V4. Melalui panel digital ini, pengguna boleh melihat pelbagai informasi dan mengawal operasinya menggunakan butang di sebelah kiri pemegang yang juga adalah baru.

Bagaimana rasanya menunggang Hypermotard baru ini? Nantikan laporan tunggang uji yang akan kami keluarkan nanti.

GALERI: Ducati Hypermotard 950 2019

GALERI: Ducati Hypermotard 950 SP 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required