Jika barangan-barangan dari kulit binatang eksotik menonjolkan prestij seseorang itu sebagai seorang yang berstatus tinggi, apa yang boleh menonjolkan anda sebagai seorang yang betul-betul minat kereta?

Ya, ada banyak aksesori barangan yang berjenama dikaitkan dengan sukan permotoran, tetapi yang ini tak pernah dibuat orang – Mercedes-AMG bersama pembuat beg Destroy vs. Beauty memperkenalkan koleksi barangan yang diperbuat dari fabrik yang telah menerima kesan tayar sebenar!

Koleksi ini dikenali sebagai Mercedes-AMG Burnout Collection – seperti namanya, barangan-barangan tersebut diperbuat dari fabrik yang ‘dikeronyok’ kereta-kereta Mercedes-AMG yang membuat aksi ‘burnout’ bagi mendapatkan kesan tayar sebenar. Menurut Destroy vs. Beauty, mereka mengambil masa dua tahun untuk menghasilkan fabrik yang tidak akan koyak ketika dikeronyok sebegitu.

Pelbagai barangan dihasilkan dalam koleksi ini, dari beg duit lelaki yang berharga 179 euro (RM824) hingga yang paling mahal beg weekender berharga 679 euro (RM3,127). Macam mana sebenarnya kesan tayar tersebut diambil? Tonton video yang kami paparkan di atas untuk mengetahui.