Ini adalah Chevrolet Captiva baru yang ditampilkan buat kali pertama di Bangkok International Motor Show 2019. Model SUV generasi kedua ini akan memasuki pasaran sana dalam separuh pertama tahun 2019 dengan harga yang bermula bawah satu juta baht (RM128,175), dan menggantikan Captiva asal yang diperkenalkan pada tahun 2006 dan diberikan facelift pada tahun 2010.

“Captiva serba baru ini akan jadi tarikan kepada pelanggan yang mahukan SUV pertama, menawarkan gaya yang ekspresif, ruang luas dan teknologi pintar, semuanya dalam satu pakej bernilai hebat,” kata pengarah jualan dan pemasaran Chevrolet Thailand, Piyanuch Chaturaphat.

Kalau anda tertanya bagaimana General Motors dapat melaksanakan perkara tersebut, sebenarnya, Captiva baru ini adalah model Baojun 530 dari China yang telah dijenamakan semula (rebadge), dan turut sudah dilancarkan di Indonesia sebagai Wuling Almaz. Kedua-dua Baojun dan Wuling di Indonesia adalah satu kerjasama antara GM dan SAIC Motor dari China.

Selain membuat kereta untuk GM di China, SAIC juga memiliki jenama automotif lain seperti MG dan Maxus. Sekiranya anda sudah pernah melihat kenderaan ini dalam laman kami, berkemungkinan ia adalah laporan daripada pameran GIIAS 2018 di Indonesia.

“Strategi kami untuk memberikan fokus kepada trak dan SUV terus memberikan hasil dan menunjukkan penekanan global GM terhadap segmen penting yang sedang berkembang ini. Kami sekarang sedang mengambil langkah seterusnya dalam strategi jangka masa panjang kami untuk mengembangkan lagi portfolio kenderaan tempatan, dengan menggunakan sepenuhnya skala global serta kerjasama yang ada, bermula dengan Captiva serba baru,” jelas Chaturaphat.

Menurut GM, Captiva baru ini akan menawarkan ruang dalaman antara yang terbesar dalam pasaran, dan boleh didapati dalam konfigurasi lima dan tujuh tempat duduk. Antara kelengkapan yang ada termasuk bumbung panoramik dan lampu utama LED bersepadu. Harga penuh dan perincian lengkap kenderaan ini hanya akan didedah apabila ia hampir dilancarkan nanti. Bahagian dalam juga telah ditutup.

Berita yang tersebar sekarang mengatakan Captiva baru di Thailand akan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo dan transmisi automatik enam kelajuan. Enjin sama yang digunakan pada Wuling Almaz menghasilkan 140 hp dan 250 Nm tork, tetapi di Indonesia, ia menggunakan transmisi CVT.

Captiva baru ini adalah sebuah kenderaan yang besar. Ukurannya adalah 4,655 mm panjang dan 1,836 mm lebar, menjadikannya 71 mm lebih panjang berbanding Honda CR-V, manakala jarak rodanya juga lebih panjang 90 mm, iaitu 2,750 mm. Di Indonesia, Wuling ALmaz dijual pada harga 318.8 juta rupiah (RM91,417). Tidak seperti model sebelum ini yang dibuat sendiri di Thailand, model baru ini pula akan diimport sama ada dari China atau Indonesia.

GALERI: Baojun 350