Sehingga kini tiada keputusan muktamad bagi Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, ini kerana Malaysia sedang mengkaji cadangan untuk mengurangkan kos projek berkenaan sebelum tempoh penggantungan berakhir pada 31 Mei 2020, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, laporan Bernama.

Perdana Menteri berkata keutamaan kerajaan ialah mengurangkan hutang negara dan memastikan projek yang berdaya maju dari segi ekonomi dapat menjana kadar pulangan yang boleh diterima.

“Terdapat manfaat ekonomi yang penting untuk meningkatkan jaringan pengangkutan awam antara kedua-dua negara. Bagaimanapun, projek itu perlu berdaya maju dan mampan,” katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong selepas Pemukiman Pemimpin Malaysia- Singapura Kesembilan hari ini.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loon pula berkata, pihaknya memahami Malaysia memerlukan masa untuk mengkaji semula kos dan sebarang pilihan alternatif, walaupun republik itu terus melihatnya sebagai projek yang baik.

“Kami berharap untuk menerima cadangan daripada Malaysia tidak lama lagi, sebagai usaha untuk bekerjasama dengan mereka dan mencari jalan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Dalam pertemuan yang berlangsung hari ini, turut dibincangkan termasuklah projek Sistem Transit Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, di mana Malaysia masih mencari alternatif yang berpatutan dan mampan, manakala Singapura bersedia untuk mempertimbangkan penggantungan projek itu.

Selain itu, kesesakan lalu lintas di tambak yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura turut dibincangkan dengan Lee memetik Mahathir sebagai berkata RTS Link tidak akan menyelesaikan masalah penunggang motosikal yang ingin memasuki Singapura.

Tun Mahathir turut berkata, menyelesaikan kesesakan lalu lintas di pintu masuk Malaysia-Singapura di Tambak Johor dan Linkedua adalah keutamaan bagi Malaysia.

Beliau berkata isu itu terus menjadi masalah besar bagi pengguna yang berulang-alik dari Malaysia dan Singapura. Di mana Malaysia dan Singapura terus komited untuk menangani isu itu dan akan terus meneroka inisiatif baharu bagi menanganinya.

“Pada masa ini, terdapat kira-kira 250,000 hingga 300,000 orang yang menyeberangi tambak ini pada setiap hari. Menyelesaikan kesesakan itu menjadi keutamaan bagi Malaysia. Ini termasuk menambah baik infrastruktur fizikal, menyemak semula dasar dan peraturan antara sempadan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan rentas sempadan,” katanya.