Ternyata langkah Perodua dalam memperkenalkan Aruz di pasaran tepat pada masanya, apatah lagi tatkala SUV kian menjadi pilihan di negara ini. Sejak dilancarkan pada pertengahan Januari lalu, Perodua telah menghantar 52% daripada 25,000 tempahan yang diterima, iaitu sekitar 13,000 unit kini telah berada di jalan raya.

“Kami telah berjaya mempercepatkan penghantaran Perodua Aruz kepada 110 unit sehari secara purata daripada 100 sebelumnya. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan para pembekal kami untuk terus mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana menjadikan Perodua Aruz antara SUV yang terlaris di negara ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Dalam masa yang sama, Zainal turut memohon maaf kepada para pelanggan yang masih belum menerima kereta mereka untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. “Kepada pelanggan kami yang dihargai, kami dengan rendah hati dan tulus ikhlas memohon maaf andai kenderaan baharu anda tidak berjaya dihantar menjelang tibanya Hari Raya. Perodua sedang bertungkus-lumus untuk memaksimumkan pengeluaran dan penghantaran bagi memendekkan masa menunggu anda. Kami amat berterima kasih atas pemahaman, kesabaran dan kepercayaan anda,” katanya.

Menurut data jualan kenderaan yang direkodkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua telah menjual sebanyak 22,943 kenderaan sepanjang Mei 2019, mengikut kiraan dalaman. Ini membawa jumlah lima bulan pertamanya kepada 105,743 unit – lonjakan 8.5% berbanding dengan jualan 97,487 unit dari Januari hingga akhir-Mei 2018.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pembekal komponen tempatan kami yang telah membuktikan kebolehan mereka dengan meningkatkan pengeluaran dan mengekalkan kualiti mereka untuk memenuhi permintaan tinggi bagi model-model Perodua, yang kesemuanya mengandungi lebih 90% komponen tempatan,” kata Dato’ Zainal.

SUV tujuh tempat duduk ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5X yang berharga RM72,900 dan 1.5 Advance (AV) yang berharga RM77,900 (harga tidak termasuk insurans). Kedua-dua varian ini masih menggunakan enjin sama iaitu unit empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VE dengan kuasa sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi pula adalah unit automatik empat-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang.