Tiada simbahan minyak berlaku di Terowong Menora dan Lebuhraya Karak – Polis, LLM dan Anih Berhad

Tiada simbahan minyak berlaku di Terowong Menora dan Lebuhraya Karak – Polis, LLM dan Anih Berhad

Kecoh di laman sosial bahawa ada lagi insiden pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menumpahkan minyak di dua kawasan popular ketika musim perayaan ini iaitu di Terowong Menora dan Kilometer 75.7 Lebuhraya Karak. Namun menurut laporan Bernama, kedua-dua berita yang tular tersebut adalah insiden lama yang ditularkan kembali.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Supt Zakaria Abd Rahman, hasil rondaan sepanjang Op Selamat 15 tidak menemukan sebarang kesan tumpahan minyak seperti di dalam gambar yang tular.

“Saya juga telah membuat semakan dan tiada sebarang kenderaan seperti di dalam gambar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan itu,” katanya.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menafikan kejadian tumpahan minyak di sekitar laluan sebagaimana yang didakwa. Menurut jurucakap LLM, pihaknya tidak menerima sebarang insiden tumpahan minyak di kawasan berkenaan sepanjang dua hari lalu dan mengesahkan bahawa laluan itu selamat digunakan oleh pengguna jalan raya ketika ini. Menurutnya lagi, gambar yang tular itu dipercayai kejadian pada tahun 2017.

Sementara itu di Karak, pemegang konsesi lebuhraya tersebut, Anih Berhad menerusi satu kenyataan media menafikan dakwaan berlaku kejadian yang sama di Kilometer 75.7 dan ia sebenarnya adalah insiden lama yang berlaku pada 6.28 petang, 3 Julai 2017.

“Ia adalah kemalangan lama membabitkan tujuh kenderaan yang berlaku akibat kesan daripada tumpahan minyak akibat daripada kemalangan di lokasi sama sebelumnya,” tulis kenyataan tersebut.

Penularan mesej di Km75.7 itu merupakan insiden kedua yang membabitkan lebuh raya itu pada bulan ini, selepas insiden pertama kononnya berlaku tumpahan minyak antara Km46.2 hingga Km46.8 arah timur berhampiran Bukit Tinggi.

Justeru, Anih Berhad meminta orang ramai untuk menghentikan penularan mesej terbabit kerana dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan dan suasana panik, terutamanya semasa orang ramai rancak pulang ke kampung bagi menyambut hari raya Aidilfitri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required