Kementerian pengangkutan telah mengumumkan sistem bidaan nombor pendaftaran JPJeBid akan diteruskan bermula minggu hadapan dan digunakan untuk nombor Wilayah Persekutuan siri VDN yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan bermula 21 Jun ini.

Semasa sidang media yang berlangsung hari ini, menteri pengangkutan, Anthony Loke memberitahu bahawa proses bidaan untuk siri ini akan bermula pada jam 12 tengah malam 21 Jun, hingga 11.59 malam 25 Jun. Keputusan tender pula akan diumumkan pada tengah hari 26 Jun.

Beliau turut menambah bahawa sistem ini akan terus digunakan untuk siri nombor plet FT, dengan bidaan atas talian untuknya akan dibuka dalam tempoh yang sama iaitu lima hari.

Loke memberitahu, kadar pendaftaran kenderaan yang tinggi untuk siri FT menjadikan ia pilihan yang baik sebagai tempat permulaan untuk sistem ini, selepas ia dimulakan sebagai projek perintis untuk siri plet FC April lalu. Beliau berkata JPJeBid nanti juga akan digunakan untuk negeri lain secara berperingkat.

Tambah Loke, untuk siri FC, 2,481 bidaan telah diterima, memberikan pulangan sebanyak RM3,113,364 kepada kerajaan. Bidaan tertinggi adalah untuk nombor FC1 dengan nilai RM231,000.

Tiada perubahan yang dilakukan berkenaan proses pendaftaran serta cara bidaan atas talian ini, dan ia masih sama seperti yang dijelaskan waktu projek perintisnya. Sistem ini terbuka kepada mana-mana individu dan syarikat yang mahu membida nombor tertentu.

Semua pembida pertamanya perlu mendapatkan ID untuk laman MySIKAP dengan cara memberikan perincian diri serta salinan kad pengenalan untuk pendaftaran (individu) manakala untuk syarikat, mereka perlu memberikan antaranya salinan sijil pendaftaran dan lesen perniagaan.

Apabila pendaftaran telah diluluskan, anda boleh menggunakan sistem bidaan ini melalui komputer ataupun peranti mudah alih lain dan mencari siri plet serta nombor yang dimahukan. Bayaran jumlah bidaan berserta tambahan yuran servis RM10 cuma akan dilakukan apabila bidaan telah tamat untuk siri tersebut.

Bayaran cuma boleh dilakukan menggunakan kad kredit atau kad debit keluaran tempatan dan anda juga boleh melakukan bayaran dengan lebih daripada satu kad. Sekiranya bidaan itu berjaya, jumlah akan terus ditolak daripada kad kredit tersebut manakala jika gagal, transaksi akan dibatalkan, jumlah itu akan ditolak balik dan tiada tambahan caj lain.

Empat kategori disediakan untuk nombor dalam senarai, dengan setiap satunya mempunyai kriteria bayaran minimum masing-masing. Untuk nombor biasa ia bermula dengan RM300, diikuti RM800 untuk nombor popular, RM3,000 untuk nombor menarik dan RM20,000 untuk nombor utama.

Tiada deposit yang diperlukan untuk proses bidaan ini, tetapi setiap pembida perlu meletakkan harga yang sama atau melebihi harga minimum yang telah ditetapkan untuk setiap kategori. Peningkatan minimum setiap bidaan pula adalah 5% daripada harga minimum untuk setiap kategori dan tiada had peningkatan maksimum untuk setiap bidaan.

Apabila dikira, jumlah peningkatan minimum bidaan untuk nombor utama adalah RM1,000, diikuti RM150 untuk nombor menarik, RM40 untuk nombor popular dan RM15 untuk nombor biasa. Tiada had bidaan yang ditetapkan tetapi pembida tidak dibenarkan menarik diri semasa proses bidaan masih berlangsung.

Semua pemenang bidaan diberikan tempoh masa 12 bulan untuk melakukan pendaftaran nombor yang dimenangi kepada kenderaan, bermula dari tarikh pengeluaran surat keputusan bidaan. Sekiranya gagal dilakukan dalam tempoh tersebut, surat tersebut akan dianggap luput dan bayaran yang telah dibuat tidak akan dikembalikan.

Nombor pendaftaran yang dimenangi juga cuma boleh didaftarkan pada kenderaan milik individu atau syarikat atas nama yang sama, namun bagi individu, ia masih boleh ditukar kepada keluarga terdekat dengan mengemukakan sijil kelahiran, sijil nikah dan dokumen lain yang berkenaan.