Batu Pahat, Johor, dikenalpasti sebagai daerah yang mencatat kadar kematian tertinggi akibat kemalangan di negara ini semenjak tahun 2016.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pada tahun 2016, sebanyak 207 kematian dicatatkan. Bagaimanapun, kadar kematian akibat kemalangan menurun 20% kepada 165 kematian sebaik Program My Safe Road dilaksanakan pada tahun 2017.

“Namun demikian, pada tahun 2018 jumlah kematian meningkat 8% kepada 178 orang. Pada suku pertama tahun ini sahaja, 44 nyawa terkorban di daerah itu,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Tambahnya lagi, kemalangan di seluruh negara, usia mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya adalah sekitar 15 hingga 25 tahun dengan kebanyakan daripada mereka adalah penunggang motosikal.

“Oleh yang demikian, pihak kementerian merangka pelbagai program dalam usaha mengurangkan kadar kematian dengan antaranya memperkasakan Program My Safe Road yang akan difokuskan di beberapa lokasi ‘panas’ yang mencatat kematian tertinggi. Selain itu, kami turut berhasrat mengadakan beberapa program advokasi di sekolah serta pusat pengajian tinggi kerana kadar kematian juga ada melibatkan penuntut universiti,” ujarnya lagi.

Berkenaan dengan laluan persekutuan FT50, iaitu Jalan Kluang yang merupakan laluan yang mencatatkan kematian tertinggi di nagara ini, pihak kementerian menganggarkan kos RM300 juta untuk menaik taraf laluan ini agar kadar kematian dapat dikurangkan

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya untuk tujuan projek naik taraf ini dengan membina pembahagi jalan dan pusingan U sepanjang 17 kilometer, di mana ia merupakan lokasi hotspot kematian akibat kemalangan jalan raya. Kami juga merancang akan memperbanyakkan rumble strips (jalur bergetar) di lokasi tertentu agar pengguna jalan raya dapat memperlahankan kenderaan masing-masing, sekali gus menyedari lokasi yang mempunyai risiko berlakunya kemalangan,” katanya.