Ini bukan perkara main-main tapi amaran dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menegaskan membuang sampah dari kenderaan juga boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 52, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959) dengan denda maksimum RM300. PDRM berpendapat, tindakan tersebut adalah perbuatan buruk kerana sampah yang dibuang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain sehingga boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Amaran ini telah disiarkan menerusi laman Facebook rasminya pada Isnin lalu dan mendapat pelbagai respons daripada netizen yang rata-ratanya bersetuju penguatkuasaan ini diimplementasikan. Malah ada juga netizen yang mengemukakan cadangan agar pihak PDRM menerima laporan bergambar mahu pun video yang dihantar oleh pengguna jalan raya sekiranya ada yang ternampak pemandu atau penumpang kenderaan yang melakukan kesalahan ini.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mengumpul sampah dalam kenderaan terlebih dahulu dan membuangnya di tempat yang disediakan apabila berhenti untuk berehat ketika memandu. Menjaga kebersihan persekitaran bukan sahaja amalan yang dituntut oleh semua agama, tetapi juga melambangkan adab seseorang dan keprihatinan terhadap alam sekitar.