Kalau baca tajuk dengan ayat “petrol paling murah”, macam klise berita-berita politik kan? Tapi adakah ia mengambilkira kemampuan rakyat sesebuah negara itu untuk membeli bahan bakar berkenaan?

Apa yang akan kami sampaikan pada artikel ini adalah laporan yang dibuat oleh Picodi Analysis yang menyatakan bahawa Malaysia sememangnya negara yang menjual petrol pada kadar paling murah setakat ini, tetapi bukan bermaksud rakyat negara kita yang paling mampu untuk membeli bahan bakar tersebut

Analisis yang dilakukan terhadap 17-negara di rantau Asia-Oceania dan termasuk Hong Kong ini bukan sekadar membandingkan harga mengikut kadar tukaran wang semasa semata-mata, sebaliknya ia turut mengambil kira purata gaji pada tiap-tiap negara.

Bagi melengkapkan laporan ini, Picodi menggunakan maklumat purata gaji rasmi yang dikeluarkan oleh pejabat statistik nasional atau kementerian-kementerian yang relevan di setiap negara. Harga purata petrol untuk setengah tahun 2019 pula diambil dari globalpetrolprices.com (mungkin atas sebab ini, Brunei tidak tersenarai dalam kajian, dan kami pun tidak pasti mengapa negara tersebut tidak boleh dirujuk di laman berkenaan) dan sumber-sumber tempatan lain.

Jumlah liter yang mampu dibeli pula dikira dengan membahagi kadar gaji purata dengan harga purata satu liter petrol. Manakala untuk menggunakan standard tukaran mata wang yang sama pula, Picodi menggunakan kadar purata selama 90 hari.

Berdasarkan laporan itu, secara purata satu liter petrol di Malaysia dijual pada harga US$0.49 atau RM2.05, menjadikan negara kita sebagai negara yang menjual bahan api tersebut dengan harga paling murah. Manakala negara yang paling mahal harga petrolnya dalam senarai ini adalah Hong Kong dengan harga US$2.15 (HKD16.89, atau RM8.85) seliter.

Namun jika di kira dengan nisbah kadar gaji purata, rakyat Australia dikira mampu membeli petrol paling banyak. Dengan gaji purata US$3,682 (AUD 5,256, atau RM15,153), seorang rakyat Australia boleh membeli 3,783 liter petrol dengan harga bahan api itu dijual pada harga purata USD$0.97 (AUD 1.39, atau RM3.99) seliter – berbanding di Malaysia, seorang rakyat kita hanya mampu untuk membeli 1,707 liter petrol dengan gaji purata US$843 (RM3,494), menduduki tangga kelima antara 17-negara tersebut

Jepun berada di tempat kedua di bawah Australia dengan 2,006 liter, manakala Korea Selatan di tempat ketiga dengan 1,908 liter, diikuti New Zealand keempat dengan 1,852 liter. Namun apa yang menarik, Singapura berada satu anak tangga di bawah Malaysia dengan 1,598 liter. Negara-negara yang tercorot dalam carta ini adalah Pakistan (192 liter), Kemboja (181 liter) dan Filipina (158 liter).

Selain dari 17-negara ini, Picodi turut menjalankan tinjauan yang sama terhadap 100 negara lain di seluruh dunia. Venezuela menduduki tangga pertama kerana walaupun gaji purata mereka hanya US$29 (RM119), petrol di negara tersebut dilaporkan dijual pada harga purata US$0.000000002 (RM0.0000000082) seliter, membolehkan lebih 14 bilion liter petrol dibeli.

Negara-negara teluk seperti Qatar, Kuwait dan UAE menjual petrol pada kadar antara US$0.40 (RM1.65) hingga US$0.60 (RM2.47), membolehkan mereka membeli 4,900 hingga 6,500 liter petrol mengikut kadar gaji purata masing-masing. Picodi turut menerangkan bahawa kedudukan negara-negara tertinggi seperti Amerika Syarikat dan Kanada bukan hanya dikira berdasarkan gaji purata yang tinggi, tetapi turut dikira brdasarkan jumlah minyak yang digali.

Dari senarai tersebut, negara-negara yang tercorot adalah Madagascar (42 liter),Tajikistan (131 litres) dan Zambia (137 litres). Kajian ini turut mendedahkan bahawa rakyat-rakyat di negara-negara pengeluar minyak tidak semestinya berkemampuan untuk membeli bahan bakar tersebut, Nigeria misalnya.