Bukan sekali, tapi dua kali pemandu yang sama selamba membawa tiga orang budak yang duduk dan bergayut di bonet belakang kenderaan yang sedang dipandunya. Video tersebut yang dirakamkan oleh seorang pengguna jalan raya telah pun tular di media sosial kelmarin dan mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya menghentam tindakan pemandu terbabit. Malah ia digambarkan sebagai ‘tindakan bodoh dan keterlaluan’ kerana pemandu tersebut membahayakan nyawa kanak-kanak tersebut.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bertindak atas aduan awam, sepasukan Unit Siasatan dan Risikan (USR) JPJ Negeri Johor telah ke lokasi aduan serta rumah suspek. Sebaik tiba di rumah suspek, didapati kenderaan yang diadu dengan nombor pendaftaran JLE 882 berada di rumah suspek.

Hasil temu siasat, didapati suspek yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) telah mengaku pada waktu kejadian bertarikh 20 Julai 2019 jam 3.30 petang telah memandu kenderaannya di Jalan Persiaran Scientex Pasir Gudang dengan membawa tiga orang budak (dua situasi berbeza) duduk dan bergayut di bonet belakang kenderaan.

Menurut JPJ Johor, OKS mengaku video dan gambar yang tular itu adalah beliau dan memaklumkan salah seorang dari budak tersebut merupakan anaknya dan dua orang lagi merupakan anak jiran dan kawannya. Pada waktu kejadian juga OKS mengaku tidak mematuhi isyarat lampu merah di Jalan tersebut.

OKS memberikan alasan berbuat demikian kerana memenuhi permintaan anaknya yang mahu melakukan aksi sebegitu. Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut, didapati kenderaan itu didaftarkan atas nama orang lain dan OKS membelinya secara sambung bayar.

Justeru, JPJ telah mengeluarkan saman ke atas OKS dengan dua pertuduhan iaitu cuai semasa memandu dan gagal mematuhi isyarat lampu merah. Malah turut memaklumkan, pasukan PDRM dari IPD Sri Alam juga turut hadir pada waktu siasatan dijalankan. Menerusi kes sebegini, JPJ ingin menasihati dan mengingatkan mana-mana pemilik/pemandu kenderaan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Dalam masa yang sama mengharapkan agar kejadian sebegini tidak berulang di masa akan datang.