Radio adalah salah satu ciri yang kadang kala agak ‘gagal’ untuk seorang peminat kereta lama bagi mengekalkan imej retro dalam kabin kereta mereka. Ramai yang saya sendiri jumpa, mereka hanya memasang radio lama di tempat asal sebagai dummy, manakala pemain yang lebih moden disembunyikan di dalam glove box bagi mendapatkan bunyi yang lebih sedap.

Produk baharu dari Blaupunkt ini mungkin akan menyelesaikan masalah abang-abang old school di luar sana – ini adalah pemain single-DIN Bremen SQR 46 DAB, yang dihasilkan dengan bentuk seakan pemain kaset Blaupunkt Breman SQR 46 yang popular ketika era 80’an.

Blaupunkt Bremen SQR 46 DAB ini menampilkan semua suis dan butang sama seperti pemain retro sebenar, malah ia turut mempunyai slot seakan boleh dimasukkan kaset (ingat lagi tak bentuk kaset macam mana?).

Namun disebaliknya, Bremen SQR 46 DAB ini sebenarnya menggunakan teknologi yang sama seperti pemain-pemain audio terkini. Pemain berkuasa 50-watt ini diberikan fungsi Bluetooth yang boleh dihubungkan ke telefon pintar bersama sistem radio digital DAB+.

Manakala ‘slot kaset’ pada mukanya pula bukanlah untuk anda memainkan kaset kumpulan Iklim ataupun kompilasi Fresh Giler, ia sebenarnya menyembunyikan port USB, port aux 3.5 mm dan juga slot kad SD bagi membolehkan anda memainkan muzik dari sumber-sumber lebih moden seperti MP3 dan WMA.

Paparan yang diberikan kini membolehkan pemilik memilih sendiri warna yang dimahukan pada skrin dan juga pencahayaan pada setiap butang dan suis. Unit kawalan jauh turut diberikan bersama mikrofon tambahan untuk membolehkan pemandu menjawab panggilan telefon dengan lebih jelas, dan ia turut menyokong fungsi suis kawalan pada roda stereng.

Walaupun rupa pemain Bremen SQR 46 DAB ini tidak secanggih pemain moden dengan skrin sesentuh, ia bakal dijual dengan harga yang tidak murah – €449 atau sekitar RM2,060 – akan mula masuk ke pasaran bermula bulan hadapan.