Grab memaklumkan syarikat itu akan membuat bayaran balik kepada pemandu-pemandunya bagi mana-mana lebihan komisen yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini. Sebilangan pemandu Grab memprotes dan menyatakan bahawa syarikat itu sebelum ini telah mengambil lebih daripada 20% komisen daripada mereka, yang merupakan angka maksimum potongan tambang yang boleh diambil oleh Grab, lapor The Star.
Sejumlah lebihan bayaran sekitar 5% dikenakan – selain peratusan komisen maksimum berkenaan – kepada pemandu yang menerima tempahan perjalanan secara manual. Di dalam satu memo yang dikeluarkan syarikat itu, bayaran balik berkenaan akan dibuat pada 5 Ogos nanti. “Bagi menepati peraturan, kami akan membayar balik jumlah 5% bagi tempahan secara manual berkenaan bagi setiap tugasan bukan secara automatik yang dilakukan selepas 11 Julai lalu. Kami akan menjelaskan bayaran ini pada 5 Ogos,” jelas memo berkenaan.
Grab menjelaskan, alasan mereka mengenakan caj tambahan 5% kepada pemandu adalah kerana “hampir 20% pemandu memilih untuk menerima tugasan/perjalanan secara manual. Untuk itu, caj 5% berkenaan diperkenalkan untuk mengimbangi pemandu lain setiap kali sesebuah tugasan diabai atau dibatalkan. Ia penting untuk mengurangkan situasi di luar jangka dan mengekalkan jumlah antara penawaran dan permintaan yang stabil dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.”
Menurut Grab lagi, pihaknya akan membayar balik 5% yang terlibat kepada semua pemandu yang membuat pilihan penerimaan tempahan secara manual melalui aplikasi berkenaan selepas tarikh 11 Julai. “Ini bermakna, semua pemandu selepas ini akan diwajibkan untuk menerima tempahan tugasan secara automatik,” jelas jurucakap Grab.