Mazda MX-5 RF 2019 kini telah pun tiba di pasaran Malaysia. Hanya didatangkan dalam bentuk RF ‘targa top’, jentera roadster sport ini mengalami sedikit peningkatan dan pembaharuan.

Bermula dengan bahagian enjin, ia masih dikekalkan dengan ‘jantung’ 2.0 liter naturally-aspirated SkyActiv-G empat-silinder petrol. Dilengkapi beberapa ciri yang direka semula seperti piston, connecting rod, crankshaft, throttle body dan intake valve, membuatkan enjin ini mampu meledak setinggi 700 rpm pada 7,500 rpm, dengan peningkatan kuasa sehingga 184 PS (meningkat dari 160 PS) pada 7,000 rpm dan tork 205 Nm (meningkat dari 200 Nm) pada 4,000 rpm.

Bukan itu sahaja, Mazda turut menambah baik bunyi pada enjin, dengan membuang material dari struktur dalaman muffler dan juga melakukan sedikit peningkatan bagi mengurangkan bunyi bising berfrekuensi-tinggi. Seperti sebelum ini, ia juga didatangkan dengan pilihan kotak gear automatik dan manual enam-kelajuan.

Lain-lain peningkatan kecil termasuklah pelarasan bagi stereng teleskopik, kawalan kelajuan dan juga paparan pelbagai-info TFT LCD berwarna 4.6-inci. Malahan, MX-5 RF 2019 kini dilengkapi dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard menerusi sistem infotainmen Mazda Connect dan juga skrin sesentuh tujuh-inci.

Dengan semua peningkatan ini, harga yang diumumkan juga lebih tinggi hampir RM37,000 berbanding sebelum ini.MX-5 RF kini ditawarkan dengan harga atas jalan (tanpa insurans) RM259,154 untuk transmisi manual dan RM260,354 bagi automatik. Ini termasuk juga dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan juga pakej servis percuma lima-tahun/100,000 km.

Ciri standard termasuklah lampu utama LED adaptif dengan lampu tinggi matrix, lampu nyalaan siang LED, roda aloi 17-inci dengan kemasan hitam baharu, sensor undur, kemasukan tanpa kunci dengan pengunci ‘walk-away’, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengelap cermin auto, cermin pandang belakang anti-silau, pendingin hawa auto, upholsteri kulit dan sistem bunyi Bose sembilan-pembesar suara (termasuk pembesar suara bahagian perehat kepala).

Untuk aspek keselamatan, ia didatangkan dengan empat beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan amaran ketibaan lorong, tetapi tidak disertakan dengan brek kecemasan sendiri yang telah diperkenalkan di peringkat global untuk model 2019, begitu juga kamera undur.