Pengendali perkhidmatan e-hailing, Grab, menyangkal dakwaan bahawa mereka gagal membayar balik lebihan komisen dalam masa yang ditetapkan kepada para pemandunya.

Menurut Grab, pihaknya akan memulangkan sebarang lebihan komisen yang dikenakan ke atas pemandu setelah beberapa orang daripada mereka mengadu syarikat itu mengambil lebih daripada 20% komisen, iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan oleh kerajaan mulai 12 Julai tahun ini.

Namun demikian, Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) berkata, menurut kenyataan syarikat menerusi aplikasi untuk pemandu pada 28 Julai, ia akan membayar balik lebihan komisen 5% kepada para pemandu Grab pada 5 Ogos.

“Bagaimanapun, sudah lebih 48 jam dari tarikh itu dan para pemandu masih belum menerima sesen pun pemulangan semula lebihan komisen yang dijanjikan oleh Grab. Kami menggesa Kementerian Pengangkutan supaya melihat perkara ini dan mengambil tindakan segera,” ujar presiden MeHDA, Daryl Chong, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Pada pertengahan Julai lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah memberi peringatan keras kepada semua pengendali perkhidmatan e-hailing supaya mematuhi peraturan komisen 20% itu. Bagaimanapun, syarikat itu masih terus mengenakan komisen 25% ke atas para pemandu ‘Terima-Manual’ dari 12 hingga 28 Julai.