Boleh dikatakan setiap kali tibanya musim perayaan, peningkatan trafik di kebanyakan lebuhraya utama acapkali berlaku. Daripada tempoh empat ke lima jam jika ikut perjalanan bukan waktu puncak, ia boleh meningkat sehingga lebih 12 jam jika waktu puncak. Penulis sendiri pernah berhadapan dengan tempoh perjalanan yang memeritkan iaitu hampir 13 jam hanya untuk pulang ke Shah Alam dari Kedah, yang kebiasaanya mengambil masa kurang daripada lima jam jika bukan musim perayaan. Malah hujung minggu lalu sewaktu cuti Aidiladha yang serentak dengan cuti sekolah, ada juga kawan-kawan yang terpaksa ‘berumahtangga’ dalam kenderaan antara 15-21 jam, sebelum sampai ke kampung halaman di Kelantan.

Fenomena ini seakan dianggap ‘biasa’ apabila tiba musim perayaan yang sering kali serentak dengan cuti sekolah, biarpun masih banyak rungutan kedengaran daripada pengguna lebuhraya termasuklah masalah untuk menggunakan tandas di kawasan R&R kerana tidak dapat berhenti langsung di kawasan berkenaan sama ada terlalu sesak dengan kenderaan atau ia ditutup oleh pengendalinya.

Justeru, untuk mengelakkan situasi sebegitu bertambah buruk, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pihaknya dalam perbincangan dengan PLUS untuk melebarkan jalan utama dan lebuhraya agar aliran trafik lebih lancar pada musim perayaan. Menurut laporan yang disiarkan oleh New Straits Times, Ketua Pengarah LLM Datuk Aziz Abdullah berkata, laluan utara-selatan sepatutnya dilebarkan bagi menampung lebih banyak kenderaan.

“Jalan raya tetap sama dan tidak ada peruntukan bagi konsesi jalan raya untuk melebarkannya. Kami cuba berunding dengan mereka, dengan rancangan untuk melebarkan lagi jalan raya, yang melibatkan laluan utara-selatan kerana aliran lalu lintas di situ lebih sesak, terutama semasa musim perayaan,” katanya.

Dalam laporan berasingan yang disiarkan oleh penerbitan berkenaan, beberapa pakar pula berkata idea terbabit memerlukan lebih banyak buah fikiran, untuk menjadikannya lebih relevan dan pastinya tidak melibatkan kos yang besar. Antara alternatif yang boleh dicadangkan, termasuklah meningkatkan tahap pengangkutan awam.

“Kita tidak boleh berkata melebarkan jalan akan menyelesaikan masalah kesesakan. Itu kurang tepat. Memang ia bagus untuk memiliki jalan yang lebih lebar bagi menampung aliran trafik pada masa hadapan, tetapi bagaimana pula pada bukan waktu puncak (bukan pada musim perayaan)?,” ujar pakar kejuruteraan trafik Dr Law Teik Hua.

Sambungnya lagi, tidak perlu untuk melebarkan jalan bagi menampung trafik. Ia memerlukan kos yang tinggi dan masa yang lama untuk berbuat demikian. “Agak membazir untuk berbuat demikian. Apa kata kita gunakan sumber yang ada untuk melabur bagi mempertingkatkan lagi pengangkutan awam? Kita perlu memikirkan bagaimana untuk mempertingkatkan fasiliti awam bagi memenuhi permintaan,” ujarnya.

Sementara itu, profesor Universiti Putra Malaysia Dr Wong Shaw Voon pula berkata, satu kajian mengenai pelebaran jalan perlu dilakukan bagi menentukan sama ada ia benar-benar keperluan, dan kawasan yang berkenaan harus dikenalpasti dengan teliti. Katanya lagi, jika projek melebarkan jalan itu dilakukan di kawasan yang sering kali berlaku kesesakan trafik, ada kemungkinan di lokasi lain pula yang mengalami peningkatan trafik yang lebih tinggi.

“Ia akan menyebabkan kesesakan trafik lebih teruk. Saya sarankan agar pihak berkenaan mengkaji terlebih dahulu sebelum mengimplementasikan projek berkenaan. Ini termasuklah kajian mengenai perubahan dinamik trafik. Kesesakan trafik tidak boleh diselesaikan dengan hanya melakukan projek melebarkan jalan di kawasan yang salah. Ia mungkin boleh menambahkan masalah,” ujarnya.

Dalam isu yang berkaitan, Law memuji langkah kerajaan untuk melarang kenderaan berat pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan, namun ia memberikan cabaran buat pemilik peniagaan terbabit.

“Kenderaan komersil yang membawa poduk segar atau lain-lain produk adalah untuk memenuhi permintaan (terhadap barangan terbabit). Musim perayaan merupakan antara masanya untuk mendapatkan barangan tersebut. Begitu juga dengan produk bahan api seperti petrol dan diesel, ia sangat diperlukan terutamanya pada musim perayaan. Jadi kenderaan berat yang membawa barangan keperluan termasuk bahan api tidak sepatutnya termasuk dalam larangan ini,” jelasnya lagi.