Kebelakangan ini, kita seringkali dihidangkan dengan berita-berita samseng jalanraya yang lebih gemar menyelesaikan masalah dengan keganasan berbanding dengan cara yang lebih matang. April lalu, seorang pekerja stor dirakam memecahkan cermin hadapan sebuah Perodua Axia hanya kerana di hon, dan sehari sebelum Hari Raya Aidiladha baru-baru ini perkara lebih tragis berlaku apabila seorang pengurus bank, Syed Muhammad Daniel Syed Syakir meninggal dunia dalam pertelingkahan yang bermula hanya kerana kemalangan kecil.

Jelas sekali, perkara sebegini hanya boleh kita elakkan dengan mengubah sikap. Jadi untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya sikap sabar ketika dijalan raya, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia telah menyiarkan satu video untuk menyampaikan mesej mereka.

Video tersebut memaparkan bagaimana dua orang yang terlibat dalam kemalangan kerana seekor kambing, melempiaskan kemarahan mereka dengan cara lebih berfaedah iaitu dengan menyabit rumput dan menebang pokok pisang yang telah mati di tepi jalan. JKJR turut menyampaikan mesej berbunyi “Manfaatkan tenaga anda. Jangan Jadi samseng jalanan” pada akhir video tersebut.

Dalam hantaran video ini di laman facebook rasmi mereka, JKJR turut mendedahkan punca atau faktor utama yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia. Menurut agensi di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu, 80% punca kemalangan adalah faktor manusia (sikap), 13% disumbangkan oleh faktor jalan raya, dan selebihnya adalah disebabkan kenderaan.

Macam biasa, apa-apa hal rakyat Malaysia akan menyalahkan pihak lain sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini berbanding mengubah sikap supaya tidak mementingkan diri sendiri seperti tidak menggunakan signal dan buat pusingan-U sesuka hati bukan?

Percayalah, selagi kita sendiri tidak mulakan perubahan seperti memandu secara difensif, menghormati antara satu sama lain, perkara seperti ini akan terus berlaku.