Selari dengan saranan kerajaan untuk mewujudkan lebuhraya dengan multi-lane free flow system atau sistem pelbagai lorong aliran bebas di negara ini, PLUS kini sedang berusaha untuk menuju ke arah lebuhraya tanpa operasi palang tol.

Ketua Teknologi dan Inovasi PLUS, Shamsul Izhan Abdul Majid menjelaskan, hal itu bagaimanapun tidak boleh dilakukan oleh PLUS secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama pihak berkuasa lain seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

“Ada banyak kekangan yang perlu diatasi dan untuk mewujudkan sistem berkenaan juga tidak semudah yang disangka. Antara kekangan utama adalah kesulitan untuk mengesan nombor plat kenderaan. Ini kerana, di Malaysia terdapat banyak format nombor plat. Justeru, kami perlu mengesahkan terlebih dahulu identiti sesebuah kenderaan itu.

“Jika dibandingkan dengan negara Eropah, nombor plat kenderaan di sana dikeluarkan oleh kerajaan manakala di sini, pengguna boleh menempah format nombor plat yang diinginkan di kedai aksesori kenderaan,” jelas Shamsul.

Setakat ini, PLUS sudah menjalankan ujian percubaan pengecaman nombor plat di tiga lokasi iaitu Bandar Serenia, Southville dan Bandar Subang. “Ujian percubaan itu dibuat untuk menggabungkan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (Automatic Number-plat Recognition) dengan sistem tol. Tujuannya adalah untuk mengetahui identiti kenderaan dan cara pembayaran yang mahu dilakukan oleh pemandunya,” katanya. PLUS sudah mula menjalankan usaha berkenaan sejak dua tahun lalu.

“Bagaimanapun, masih tiada jangka masa yang tepat bila aspirasi ini dapat dicapai. Kami ada juga berkongsi maklumat dengan pengendali tol di Singapura, tetapi keadaan di sini tidak sama dengan negara berkenaan. Singapura adalah sebuah pulau dan kenderaan di sana hanya berpusing di sekitar kawasan itu. Mungkin jika pengguna tidak membayar tol pada hari ini, mereka perlu membayarnya pada esok hari. Mereka tidak boleh lari daripada sistem di sana,” tambah beliau.

“Namun di Malaysia, kenderaan masuk daripada pelbagai arah. Ada yang dari Thailand, ada yang dibawa menaiki kapal dari Sabah dan Sarawak. Potensi kenderaan untuk hilang tanpa membayar tol itu ada dan ia boleh menjejaskan kutipan tol dan pendapatan PLUS,” katanya.