Nampaknya trend jualan kereta baharu yang merudum turut melanda Indonesia – menurut data dari Persatuan Pengeluar Automotif Indonesia (Gaikindo), jualan kereta baharu dinegara tersebut mencatatkan penurunan 11% untuk enam bulan pertama tahun ini dengan 499,573 unit, berbanding 561,680 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Jualan untuk tempoh Mei hingga Jun juga dilihat jatuh teruk dengan catatan 65,657 unit berbanding 93,837 unit dalam tempoh sama 2018, atau merudum 30%. Walau bagaimanapun, ini bukan bermaksud rakyat Indonesia kurang membeli kereta kerana laporan dalam Jakarta Post menyebut bahawa jualan untuk kereta terpakai di negara tersebut kini dilihat bertumbuh dengan cepat.

“Jualan kereta terpakai boleh mencecah 300,000 unit sebulan, yang dilihat agak tinggi”, kata CEO portal jualan kereta terpakai BeliMobilGue, Johnny Widodo.

Jakarta Post turut menyebut bahawa rakyat Indonesia membeli kereta terpakai bukan hanya kerana ia lebih murah, malah kereta-kereta tersebut sebenarnya masih lagi baru dan berusia sekitar tiga hingga tujuh-tahun dengan kondisi masih baik.

Dengan arahan Gabenor Jakarta yang akan menguatkuasakan larangan kereta berumur 10 tahun keatas untuk masuk ke Bandaraya berkenaan menjelang 2025 nanti turut menyumbang kepada perkembangan ini.

“Ramai yang menjual kereta mereka selepas [menggunakannnya] dalam masa tiga hingga tujuh-tahun,” kata Johnny. Selepas undang-undang larangan tersebut berkuatkuasa, dia menjangkakan lebih banyak kereta akan dijual dalam masa lebih awal. “Jualan kereta terpakai akan bertumbuh antara 10 hingga 30% menjelang tahun 2023,” tambahnya lagi.

Johnny turut berkata bahawa dengan perlaksanaan undang-undang berkenaan, lebih ramai individu mungkin akan memiliki lebih dari satu kereta dan akan memangkin lagi jualan kereta terpakai. Dalam perspektif perniagaan pula, peluang untuk semua pihak adalah lebih terbuka kerana tiada pihak yang dominan dalam pasaran kereta terpakai Indonesia.

Rekod dari Statistik Indonesia (BPS) menunjukkan bahawa kini sekitar 16 juta kereta yang berada diatas jalan seluruh negara tersebut pada 2017, dengan pasaran kereta baru dan terpakai kedua-duanya didominasi oleh model-model MPV. Ia adalah seiring dengan data Gaikindo yang menunjukkan bahawa 11 dari 15 model-model paling laris untuk separuh 2018 adalah MPV.