Biarpun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak, namun Malaysia bertegas untuk meneruskan projek kereta terbang pertama yang sedang dibangunkan di Jepun dan kini dilaporkan telah 85% siap.

“Kami terbuka menerima mana-mana pendapat untuk membangunkan projek ini. Biarpun banyak pihak yang mengkritik hebat termasuklah pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Prof Phillip Alston baru-baru ini. Mungkin PBB juga mempunyai pandangannya tersendiri,” ujar Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof seperti yang disiarkan oleh Bernama.

Baru-baru ini Alston berkata projek tersebut tidak praktikal dilaksanakan di Malaysia, dengan alasan negara ini sering terdedah kepada ribut dan kenderaan itu akan menggunakan terlalu banyak bahan bakar fossil. Tambahnya lagi, projek kereta itu membazirkan sumber dan masa bagi Malaysia yang sepatutnya membuat persediaan bagi menghadapi kesan perubahan iklim yang kini mula terasa.

Sambung Redzuan lagi, “Projek ini adalah inisiatif swasta. Jika anda lihat pada seluruh eko sistem industri itu sendiri, saiznya adalah kira-kira USD500 bilion seantero dunia, ini industri besar yang kita harus terlibat dan sokong.”