Proton Iriz R5 Juara Woodpecker Stage Rally 2019

Proton Iriz R5 Juara Woodpecker Stage Rally 2019

Selepas sah menerima homologasi penuh dari FIA Mac lalu, dan membuat kemunculan sekaligus bergelar juara Forest Rally Stage di Goodwood Festival of Speed buat kali ketiga berturut-turut pada Julai 2019, Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) sekali lagi menjuarai rali peringkat nasional British, kali ini di Woodpecker Stage Rally 2019 – pusingan ke-6 dalam siri rali BTRDA – hujung minggu lalu.

Iriz R5 pasukan MEM tersebut masih dikendalikan oleh pemandu utamanya, Oliver Mellors dibantu juruarah Ian Windress. Tanpa sebarang masalah, Ollie Mellors dan Iriz R5 menamatkan 5 SS dalam rali yang diadakan di sekitar Ludlow, England berkenaan dalam masa 43 minit 34 saat, meninggalkan George Lepley yang memandu Mitsubishi Lancer Evo X di tempat kedua 20 saat di belakang.

Stephen Petch yang memandu Ford Fiesta WRC pula tertinggal 33 saat untuk berada di tempat ketiga, dan Ian Bainbridge yang memandu Skoda Fabia R5 ketinggalan 53 saat dan menamatkan rali ini di tangga keempat.

Proton Iriz R5 Juara Woodpecker Stage Rally 2019

Dalam lima SS Woodpecker Stage Rally ini, Ollie berjaya mencatatkan masa terpantas dalam empat SS. Walaupun terlanggar sesuatu pada SS kedua, Iriz R5 tersebut masih mencatatkan masa terpantas dengan kelebihan 16-saat.

“Hari ini merupakan hari yang hebat, tiada langsung drama. Kereta ini sangat hebat, kami betul-betul menikmatinya,” kata Olie selepas disahkan sebagai juara.

“Saya juga tujukan kemenangan ini untuk semua rakan kami di Malaysia, sempena Hari Merdeka pada 31 Ogos – hari kebangsaan Malaysia yang memperingati Deklarasi Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Ini adalah masa yang sangat tepat untuk kami memberikan kemenangan rali untuk Proton pada hari yang sangat istimewa untuk mereka,” kata Ollie lagi.

Proton Iriz R5 Juara Woodpecker Stage Rally 2019

Woodpecker Rally 2019 ini juga menyaksikan dua buah Iriz R5 berlumba serentak – satu lagi (juga dibina oleh MEM) dipandu oleh Theo Bengry dari pasukan Leominster Car Auctions. Bengry yang sebelum ini dominan dalam siri-siri Historic Rally, sedang mula membiasakan diri dengan jentera rali 4WD moden, namun hanya menamatkan rali ini di tempat ke-18.

MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required