Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

Empat tahun yang lepas, Porsche memperkenalkan sebuah model pameran yang dipanggil sebagai Mission E Concept. Sekarang, ia telah berkembang dan membangun menjadi sebuah model elektrik penuh pertama jenama itu, dan versi produksinya telah pun didedah dalam dua varian iaitu Turbo dan Turbo S.

Untuk menjadikan pelancarannya lebih istimewa, Porsche †elah melakukannya di tiga lokasi yang melambangkan sumber tenaga di tiga benua secara serentak iaitu Niagara Falls di Amerika Syarikat sebagai lambang air, tapak gugusan panel solar Neuhardenberg di Berlin, Jerman sebagai lambang solar dan ladang kincir Pinatan Island di Fuzhou China sebagai lambang kuasa angin.

Walaupun namanya dipanggil Turbo, Taycan ini tidak mempunyai unit turbo sebenar dan Porsche menggunakan nama itu sekadar sebagai tanda untuk membezakan antara varian model elektrik ini. Dua varian yang didedahkan awal ini mungkin adalah varian paling tinggi dan kemudiannya mungkin akan diikuti oleh varian S dan GTS. Taycan Turbo dan Turbo S kedua-duanya dikuasakan oleh sepasang motor permanent magnet synchronous – satu untuk setiap gandar.

Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

Pada Taycan Turbo S, sumber elektrik ini mampu menghasilkan 625 PS, atau 761 PS dalam mod overboost apabila fungsi Launch Control diaktifkan, dengan tork 1,050 Nm. Hasilnya, kenderaan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat, 0-160 km/j dalam masa 6.3 saat dan 0-200 km/j dalam masa 9.8 saat. Laju maksimum adalah 260 km/j dan mengikut ujian WLTP, varian Turbo S boleh memberi jarak gerak antara 388 km hingga 412 km.

Tetapan yang digunakan pada varian Turbo juga menghasilkan 625 PS, tetapi apabila menggunakan mod Launch Control ia cuma boleh menghasilkan kuasa overboost 680 PS manakala tork pula pada 850 Nm. Varian Turbo boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat, 0-160 km/j dalam 6.9 saat dan 0-200 km/j dalam 10.6 saat. Laju maksimum adalah 260 km/j manakala jarak gerak pula antara 381 km hingga 450 km.

Kedua-dua varian Turbo dan Turbo S menggunakan bateri 93.4 kWh, dengan kapasiti mengecas maksimum 270 kW. Untuk Turbo S, pengecasan AC pada kadar 11 kW akan mengambil masa sembilan jam dari kosong hingga penuh, manakala apabila menggunakan sumber DC 50 kW, pengecasan selama 31 minit dapat memberikan perjalanan sejauh 100 km dan mengambil masa 93 minit untuk mengecas bateri dari 5% ke 80%. Pengecasan menggunakan sumber DC 270 kW selama 5.5 minit pula boleh memberikan jarak gerak 100 km dan mengambil masa 22.5 minit untuk mencapai tahap 80%, daripada 5%.

Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

Sekarang kepada Taycan Turbo pula. Pengecasan AC pada kadar 11 kW akan mengambil masa sembilan jam untuk penuh, dari kosong manakala apabila menggunakan sumber DC 50 kW, ia akan dapat memberikan jarak gerak 100 km selepas dicas 28 minit, dan 93 minit untuk meningkatkan kuasa bateri dari 5% ke 80%. Untuk mendapatkan jarak gerak 100 km menggunakan pengecas 270 kW pula akan mengambil masa cuma lima minit manakala untuk meningkatkan kuasa dari 5% ke 8% akan mengambil masa mengecas 22.5 minit.

Mengikut ujian NEDC, Taycan Turbo mempunyai penggunaan elektrik bercampur 26.9 kWh/100 km manakala Taycan Turbo S pula 26.0 kWh/100 km; dah tentu, kereta ini tidak mempunyai sebarang pembebasan karbon dioksida. Melihat kepada dimensi kenderaan, kebanyakan ukuran untuk dua varian ini adalah sama termasuk panjang 4,963 mm, jarak roda 2,900 mm dan lebar 1,966 mm.

Walaubagaimanapun varian Turbo adalah lebih tinggi, dengan ukuran 1,381 mm sementara Turbo S cuma 1,378 mm. Kemudiannya, menimbulkan sedikit pertanyaan, Turbo yang merupakan varian lebih rendah berbanding Turbo S mempunyai jarak roda kiri dan kanan yang lebih lebar berbanding Turbo S iaitu 1,702 mm di depan dan 1,667 mm di belakang (1,690 mm dan 1,655 mm pada Turbo S).

Berat Turbo S adalah 2,295 kg dan Turbo pula 2,305 kg. Untuk ruang simpan barangan, kedua-duanya adalah sama untuk Turbo dan Turbo S iaitu 81 liter di depan dan 366 liter di belakang, dengan tahap bebanan 75 kg.

Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

Dipadankan bersama motor elektrik Taycan adalah transmisi dua kelajuan untuk gandar belakang dan satu kelajuan untuk gandar hadapan. Casis pula terdiri daripada suspensi udara adaptif dengan spring udara yang dikawal oleh Porsche Active Suspension Management (PASM), double wishbone aluminium di hadapan dan multi-link aluminium di belakang. Rear-axle steering datang secara standard pada Turbo S dan dijual sebagai tambahan bagi Turbo.

Untuk bahagian brek, Turbo S menggunakan sistem Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) yang terdiri daripada angkup monobloc 10 piston dan cakera 420 mm di hadapan, serta angkup empat piston monobloc dan cakera 410 mm di belakang. Rim adalah 21 inci dengan tayar 265/35 di hadapan dan 305/30 di belakang.

Sementara itu, model Turbo pula menggunakan sistem brek Porsche Surface Coated Brake (PSCB) yang terdiri daripada angkup monobloc 10 piston serta cakera 415 mm di hadapan dan angkup monobloc empat piston serta cakera 365 mm di belakang, yang tersembunyi di sebalik rim 20 inci yang dibalut tayar 245/45 di hadapan dan 285/40 di belakang.

Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

Untuk casis Taycan ini, Porsche menggunakan sistem 4D Chassis Control, di mana semua sistem casis dianalisa dan disamakan dengan waktu sebenar. Menurut Porsche, penjanaan semula kuasa pada Taycan adalah jauh lebih besar berbanding model pesaingnya, dengan ujian yang dibuat menunjukkan 90% penggunaan brek harian adalah dijalankan oleh motor elektrik sahaja tanpa mengaktifkan brek hidraulik biasa.

Pada bahagian dalam, Taycan menggunakan suasana yang lebih moden, dengan tiada lagi tolok analog, kecuali jam Sport Chrono di atas papan pemuka sebagai satu ciri tradisi bersama butang pemula di bahagian kiri roda stereng. Mod pemanduan mengikuti model Porsche semasa, dengan pilihan empat mod iaitu Range, Normal, Sport dan Sport Plus. Satu lagi mod Individual adalah untuk tetapan yang boleh diubah oleh pemandu.

Di hadapan pemandu terdapat panel paparan melengkung 16.8 inci dan ia mempunyai penapis polarize untuk mengelakkan silau. Empat mod paparan boleh dipilih iaitu Classic, Map, Full Map dan Pure yang paling ringkas. Tiada butang kawalan untuk bahagian ini dan ia boleh diubah dengan arahan suara yang dimulakan dengan ‘Hey Porsche’.

Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

Tetapan untuk kenderaan pula boleh diubah menggunakan skrin 10.9 inci yang berada di bahagian tengah, termasuk navigasi, telefon, media, ciri keselesaan serta fungsi Porsche Connect. Sistem kawalan suara yang diperelok menjadikan akses lebih pantas.

Terdapat juga satu lagi skrin untuk penumpang hadapan, di mana mereka boleh membuat perubahan tanpa mengganggu pemandu. Pada konsol tengah juga terdapat satu panel sesentuh 8.4 inci untuk kawalan terus pendingin hawa dan boleh mengesan tulisan tangan. Kawalan pendingin hawa penumpang belakang menggunakan panel sesentuh 5.9 inci lain.

Bahagian dalam Taycan datang dalam pelbagai pilihan kemasan termasuk yang dibuat daripada bahan tanpa kulit sepenuhnya yang dipanggil sebagai Race-Tex. Bahan gentian mikro ini dibuat daripada campuran gentian polyester kitar semula, dan penghasilannya di kilang menggunakan 80% kurang CO2.

Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

Pelapik lantai pula menggunakan gentian kitar semula Econyl, yang dibuat daripada barangan seperti jaring nelayan kitar semula. Pilihan kulit biasa dan Club Leather masih disediakan, dengan warna yang eksklusif untuk Taycan sahaja adalah termasuk Black-Lime Beige, Blackberry, Atacama Beige dan Meranti Brown.

Tempahan untuk Taycan telah dibuka di Amerika Syarikat dengan harga US$187,610 (RM786,596) untuk Turbo S dan US$153,510 (RM643,625) untuk Turbo. Varian yang mempunyai kuasa lebih rendah akan diperkenalkan kemudian, dimulakan dengan Taycan Cross Turismo pada hujung tahun 2020.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required