Pemegang saham terbesar dalam Boustead Petroleum Marketing (BPM) yang mengendalikan rangkaian stesen minyak di bawah jenama BHPetrol, Boustead Holdings dilaporkan akan menjual sahamnya dalam perniagaan tersebut. Perkara ini dinyatakan dalam laporan The Edge, dan turut menyebut bahawa perbincangan dengan individu yang berpotensi membeli saham berkenaan sedang berjalan, bersama pihak lain yang berminat terhadap aset tersebut.
“Ini (aset yang menunggu) adalah kerana harga yang diberikan adalah lebih dari RM1 bilion, mungkin cecah RM1.5 bilion, atau lebih,” kata sumber yang boleh dipercayai berkenaan perkara ini memberitahu The Edge. Menurutnya lagi, selain dari harga, ada berberapa pihak lagi yang berminat dengan perkara ini, dan sedang menunggu nilai yang akan dinyatakan oleh Boustead Holdings.
Sehingga kini, BPM menjual petrol, diesel, gas LPG dan pelbagai minyak pelincir secara runcit serta mengendalikan lebih dari 380 stesen minyak di seluruh Malaysia. Syarikat tersebut dikuasai Boustead Petroleum dengan pegangan 70% dan 30% selebihnya adalah milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
LTAT pula mempunyai 59.45% saham dalam Boustead Holdings. Laporan ini turut menambah bahawa dengan struktur pemilikan Boustead Holdings dan LTAT ini, mungkin LTAT juga akan melepaskan kepentingannya dalam BPM jika Boustead Holdings keluar dari perniagaan tersebut. Untuk rekod, selain dari peruncitan petrol ini, Boustead Holdings juga mempunyai jaringan perniagaan dalam bidang pertahanan, farmaseutikal, kejuruteraan berat, pertanian dan juga pembangunan hartanah.
Pemegang saham Boustead Petroleum pula terdiri dari Boustead Holdings dengan pegangan 59.82%, PE Petroleum (21.11%), Vitol Malaysia (14.07%) dan Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (5%) yang sebelum ini turut menerajui Boustead Holdings dan LTAT.
The Edge turut mendedahkan bahawa PE Petroleum adalah milik penuh syarikat yang bernama Hesselink Investments, manakala Vitol Malaysia pula milik penuh Vitol Malaysia BV, iaitu salah satu divisi gergasi industri minyak Belanda, Vitol. Sumber berita ini memberitahu, Vitol mungkin berminat untuk mengambil alih perniagaan ini, tetapi menurut laporan ia tidak berasas.
Nama lain yang turut dikaitkan berminat adalah Petronas Dagangan, yang mempunyai lebih dari 1,000 stesen minyak di seluruh negara, dan Petron Malaysia Refining & Marketing, yang mengendalikan lebih dari 640 stesen minyak di seluruh Malaysia, tetapi kedua-duanya masih tidak dapat dipastikan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.