Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

Rasanya, rata-rata yang pakai kereta tahu akan satu perkara yang telah berpindah dari mulut ke mulut – setiap tayar yang kita beli, ada tarikh luputnya iaitu sekitar lima ke enam tahun dari tarikh pembuatannya yang boleh kita periksa menerusi tarikh yang di cop pada dinding sisi setiap tayar berkenaan. Betul ke fakta ni? Artikel ini akan kami kupas apa mitos dan apa yang tidak berkenaan isu tersebut.

Memang benar, setiap tayar yang dibuat akan menerima cop tarikh yang terletak pada sisi tayar berkenaan. Cop tersebut dikenali sebagai kod DOT (Department of Transportation), dan tarikh tayar berkenaan dibuat boleh anda ketahui menerusi empat digit kod yang tertera.

Contoh jika ia tertulis ‘4418’, ia bermaksud tayar itu dibuat pada minggu ke-44 pada tahun 2018, atau sekitar Oktober 2018. Jika anda terjumpa tayar dengan kod DOT hanya tiga digit, itu bermaksud tayar berkenaan dibuat sebelum tahun 2000.

Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

btrhdr

Jadi, betul ke jika tayar baru dan belum digunakan tersebut yang telah berusia sekitar 2 hingga 3 tahun dalam stor boleh kita klasifikasikan sebagai tayar ‘expired’? Menurut Persatuan Pengeluar Getah Amerika Syarikat (RMA), mereka sendiri tidak mempunyai satu standard bagi menetapkan tarikh luput satu-satu tayar, kerana kerosakan setiap tayar adalah bergantung pada pelbagai faktor antaranya suhu, beban, tekanan tayar, kelajuan dan sebagainya.

Jadi untuk ‘menghukum’ sesebuah tayar itu sebagai sudah luput hanya kerana disimpan selama tiga tahun di dalam stor adalah tidak patut. Ini kerana tayar berkenaan belum lagi dikenakan suhu tinggi, diberikan beban, mahupun diisi dengan angin tekanan tayar yang boleh menyebabkan ia rosak.

Walau bagaimanapun, Persatuan Pengeluar Getah British (BRMA) pula mengesyorkan bahawa tayar yang baharu dan tidak digunakan dalam masa lebih enam tahun tidak patut untuk digunakan lagi, manakala semua tayar perlu ditukar sekiranya ia telah mencapai usia 10 tahun dari tarikh pengeluaran.

Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

Manakala pengeluar tayar Perancis, Michelin pula menyifatkan bahawa tayar bukan seperti buah pisang yang akan rosak sendiri walaupun tidak disentuh. Menurut Michelin, ‘tarikh luput’ sesebuah tayar itu sebenarnya perlu dianggar sejak hari pertama ia digunakan pada kereta, dan bukan bergantung pada tarikh pengeluarannya semata-mata.

Ini kerana tayar berkenaan akan mula ‘diasak’ dengan faktor-faktor yang disebutkan tadi sejak ia mula digunakan, dan bukan ketika ia disimpan.

Sebaik sahaja tayar tersebut disarungkan pada rim, ia mula diberikan tekanan angin, dan kemudian akan menerima asakan lain seperti berhenti dan bergerak semula, memecut, bergerak pada kelajuan tinggi, melalui permukaan yang lasak, melanggar objek tajam, diberikan beban tinggi, mengharungi cuaca buruk dan pelbagai lagi. Malah jika kereta tersebut tidak bergerak, tayar masih lagi perlu menanggung berat dari kereta berkenaan.

Michelin tidak mengeluarkan fakta ini hanya dengan cakap kosong, malah mereka sebenarnya telah melakukan kajian di tiga negara berbeza berkenaan perkara ini. Menerusi kajian yang dilakukan di Jerman, Korea dan Arab Saudi tersebut, jelas menunjukkan bahawa tayar yang disimpan selama tiga tahun mempunyai prestasi yang sama dengan tayar yang baharu sahaja keluar dari kilang.

Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

Secara spesifik, kajian yang dijalankan di Arab Saudi menunjukkan tayar yang telah digunakan selama satu tahun pada kereta, adalah sama keadaannya dengan tayar yang telah disimpan dan tidak pernah digunakan selama 10 tahun. Untuk karekteristik pada getah tayar pula, sata-satu tayar berkenaan perlu disimpan selama 20 tahun dengan suhu 40 darjah selsius bagi menjadikannya sama dengan karekter pada tayar yang telah digunakan sejauh 40,000 km, menunjukkan bahawa keadaan getah tersebut akan lebih cepat rosak jika digunakan dan bukan ketika disimpan dengan betul.

Untuk ujian di Korea, Michelin melakukan perbandingan tayar yang baharu saja keluar dari kilang dan tayar yang di simpan selama tiga tahun dalam ujian kelajuan tinggi dan kelajuan berperingkat. Manakala di Jerman pula dua jenis tayar yang sama tersebut diuji dari aspek rintangan golekan – hasil dari ujian di dua negara berkenaan menunjukkan kedua-dua jenis tayar tersebut menunjukkan hasil yang sama tanpa apa-apa perbezaan. Namun Michelin bersetuju dengan pendapat BRMA bahawa tayar yang berusia 10-tahun perlu ditukar dan dilupuskan.

Baru-baru ini, tular lagi satu hantaran di media sosial yang mengatakan bahawa jika tayar baharu yang disimpan oleh kedai tayar dengan usia sekitar 2-3 tahun, sudah boleh dianggap expired dan kita perlu minta diskaun dari kedai. Selepas membaca penerangan di atas, adakah anda rasa ia relevan? Pernahkah anda minta lebih diskaun untuk sebuku roti yang tarikh luput lagi tiga hari berbanding roti dengan tarikh luput lagi lima hari?

Anda tak perlu gusar sebenarnya jika tayar tersebut sudah berada tiga tahun dalam stor tanpa digunakan kerana prestasinya masih sama dengan tayar yang baru keluar kilang semalam. Kalau ada kedai yang menjalankan promosi untuk menghabiskan stok yang berusia tiga tahun dengan menjualnya pada harga lebih murah dari biasa, jangan risau untuk membelinya kerana ini peluang anda untuk berjimat.

Yang perlu anda ambil perhatian terhadap kod DOT ini adalah jika anda membeli tayar terpakai (kami tidak menggalakkan kerana tayar melibatkan keselamatan yang tinggi). Walaupun kita tahu bila tayar terpakai itu di kilangkan, tapi kita tidak tahu bila ia mula digunakan oleh pemilik asal.

Anda mungkin mudah untuk menjumpai tayar terpakai dengan bunga tayar yang masih tebal, tapi untuk mendapatkan tayar terpakai dengan tarikh pengeluaran yang masih lagi baharu adalah sangat sukar. Tambahan pula, tayar terpakai ini biasanya tidak disimpan dengan betul oleh penjual – ia dilonggokkan pada pusat pengumpulan, dan ada juga penjual yang hanya meletakkannya di luar kedai dan bukan di tempat yang tersusun di dalam stor.

Dan yang paling penting sekali, anda perlulah sentiasa memeriksa sendiri keadaan tayar anda setiap masa. Bagi mereka yang mempunyai sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar (TPMS) pada kereta, anda perlu sentiasa peka dengan maklumat yang diberikan. Jika tidak ada, kalau boleh periksa tekanan angin tayar setiap minggu, dalam masa yang sama periksa keadaan tayar sama ada bunga masih tebal atau tidak, ia makan sekata atau tidak dan adakah tekanan selalu turun mendadak atau tidak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Tapi kalau tayar yg belum guna dan tahun semasa telah berubah dari tahun pengeluaran sudah tentu akan dapat diskaun, kalau penjual tak offer pun diskaun, kita masih boleh minta dan selalunya akan dapat. Itulah namanya tawar menawar. Benda boleh murah, buat apa nak bayar mahal?

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 3
  • zahari on Sep 24, 2019 at 8:33 pm

    penggunaan gas biasa dgn nitrogen mcm mana pula saudara?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • tayar on Sep 27, 2019 at 1:07 pm

    artikel yang bagus paultan. lagi satu yang patut di-masukkan dalam artikel, tayar baru mempunyai laputan wax (macam lilin) yg meng-elakkannya dari mengalami transformasi pengoksidaan. Bila tayar telah di gunakan laputan ini akan hilang, sebab geseran di jalan, UV dari matahari dan hujan. Proses pengoksidaan akan mula berlaku apabila laputan ini telah tiada untuk melindungi tayar tersebut. Sebab itu tayar yang telah di-pakai adalah di-nasihatkan untuk tukar selepas 2 atau 3 tahun walaupun bunga masih tebal.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Kajian Syarikat pengeluar tayar memang la akan kata tayar simpan 3 tahun kat stor masih bagus sama macam tayar baru keluar kilang…Sbb kalau mereka akui..banyak la tayar akan tak laku…

    Beli la apa2 barang yg berasaskan getah..jangan pakai simpan 3-4 tahun..lepas tu tengok apa jadi..

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
  • Fariz on Dec 21, 2020 at 12:36 pm

    Macamana kalau tayar tersebut tiada batch code? Apa maksudnya?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • mzakihass on Jul 06, 2022 at 4:18 pm

    Tapi kalu tyar dah thn 4416 ..tk pernah guna..hanya duduk kt bwh bonet..bhg spare saja..boleh ke guna lagi?pairing dengn tyr bru sebelah..mohon beri pendapat

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Kalau untuk tayar saiz 196/60R15, antara Michelin XM2+ dan Conti CC7 yang manakah lebih baik?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required